
BRUSSELS: Mogok industri penerbangan Itali menjejaskan penerbangan di seluruh negara itu hari ini, lapor Anadolu Ajansi, memetik harian tempatan.
Syarikat penerbangan nasional ITA Airways membatalkan kira-kira 38 peratus daripada perkhidmatan berjadualnya apabila pengawal trafik udara, kakitangan keselamatan lapangan terbang dan kru syarikat penerbangan melakukan bantahan yang diselaraskan.
Mogok itu melibatkan pekerja ENAV, penyedia perkhidmatan navigasi udara Itali, yang petugasnya di Pusat Kawalan Rom menggantung operasi dari 10.00 pagi hingga 6.00 petang waktu tempatan (0800-1600 GMT), lapor agensi berita ANSA.
Pemberhentian kerja secara langsung menjejaskan kebanyakan penerbangan yang berlepas dan tiba di Itali tengah serta pesawat yang transit melalui ruang udara Itali.
Kakitangan ENAV di Naples turut menyertai mogok selama lapan jam dalam tempoh masa yang sama, memburukkan lagi gangguan di seluruh rangkaian penerbangan negara.
Di Rom, pekerja keselamatan daripada ADR Security melancarkan mogok berasingan selama empat jam dari tengah hari hingga 4.00 petang (1400GMT) di Lapangan Terbang Leonardo da Vinci-Fiumicino dan Lapangan Terbang Ciampino.
Tindakan itu mengganggu pemeriksaan keselamatan penumpang dan pemeriksaan bagasi dibawa di kedua-dua lapangan terbang.
Di Lapangan Terbang Palermo, pekerja GH Palermo, ASC Handling dan Aviapartner Palermo turut melakukan bantahan selama empat jam dari tengah hari hingga 4.00 petang.
Sementara itu, juruterbang dan kru kabin dari EasyJet menyertai mogok selama lapan jam dari 10.00 pagi hingga 6.00 petang, memburukkan lagi kelewatan dan pembatalan. – Bernama