
SPAOH: Projek pembinaan Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Bebuling yang bernilai RM248.03 juta kini siap sepenuhnya apabila kemajuan fizikal projek mencapai 100 peratus setakat 30 April 2026, sejajar dengan perancangan asal yang ditetapkan.
Menurut kenyataan media Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, pencapaian tersebut membuktikan komitmen tinggi kerajaan Sarawak dalam memastikan projek infrastruktur strategik luar bandar dilaksanakan secara cekap dan teratur demi manfaat rakyat.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas telah mengadakan lawatan kerja ke tapak pembinaan STOLport Bebuling bagi meninjau sendiri perkembangan pelaksanaan projek yang dijangka menjadi pemangkin utama pembangunan kawasan luar bandar.

Dalam lawatan tersebut, beliau turut diberikan taklimat terperinci mengenai status semasa pelaksanaan projek, skop kerja utama serta pencapaian kemajuan keseluruhan projek oleh pihak berkaitan.
Projek mega itu merangkumi pembinaan landasan udara, laluan teksi, apron parkir pesawat, bangunan terminal, sistem saliran, kemudahan utiliti serta pelaksanaan kerja-kerja mekanikal dan elektrikal berkaitan bagi memastikan operasi lapangan terbang berjalan lancar dan memenuhi keperluan semasa.
JKR Sarawak memaklumkan bahawa STOLport Bebuling bakal memainkan peranan penting dalam meningkatkan jaringan pengangkutan udara di kawasan luar bandar, sekali gus memudahkan perhubungan penduduk dengan kawasan bandar dan pusat ekonomi utama di negeri ini.

Selain meningkatkan aksesibiliti, projek tersebut juga dijangka merancakkan pertumbuhan sosioekonomi setempat melalui peluang pelaburan, peningkatan aktiviti perdagangan dan sektor pelancongan serta mempercepatkan penyampaian perkhidmatan kepada komuniti luar bandar.
Lawatan kerja itu turut membuktikan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memperkukuh pembangunan infrastruktur wilayah secara mampan selaras dengan agenda pembangunan negeri bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus dipertingkatkan.
Oleh Adi Safarman