
KUCHING: Kasih sayang seorang ibu sering kali sukar dibalas dengan kata-kata, namun sempena sambutan Hari Ibu, beberapa anak muda tampil meluahkan penghargaan buat insan yang telah membesarkan mereka dengan penuh kasih sayang dan pengorbanan.
Bagi Nurul Hana Karim, 21, Hari Ibu merupakan hari yang sangat bermakna untuk mengenang segala pengorbanan dan kasih sayang seorang ibu yang tidak pernah putus sejak dirinya kecil sehingga dewasa.
Menurutnya, seorang ibu sentiasa menjadi tempat bergantung dalam apa jua keadaan sama ada ketika susah mahupun senang.
Sebagai tanda penghargaan, Nurul Hana menitipkan ucapan terima kasih buat ibunya sempena sambutan Hari Ibu.
“Terima kasih ibu kerana sentiasa ada untuk saya dalam susah dan senang, sentiasa memberi nasihat dan tunjuk ajar dari kecil hingga ke besar.
“Saya sayang ibu lebih daripada apa yang saya mampu ungkapkan dengan kata-kata,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak.
Tambahnya lagi, jasa seorang ibu perlu dihargai kerana mereka sanggup berkorban masa, tenaga dan kasih sayang demi kebahagiaan anak-anak tanpa pernah mengharapkan balasan.
“Ibu juga insan yang sentiasa mendoakan dan menyokong anak-anak dalam setiap keadaan.
“Tanpa pengorbanan seorang ibu, kita mungkin tidak mampu menjadi diri kita hari ini,” luahnya.

Bagi Nicholas Awie Musa, 22, pula, Hari Ibu disifatkan sebagai hari yang sangat istimewa buat insan yang telah melahirkan, membesarkan serta menyayangi anak-anak tanpa batas.
Katanya, seorang ibu merupakan insan yang perlu disanjung dan disayangi sebagaimana mereka menyayangi anak-anak sejak kecil lagi.
“Hari Ibu bagi saya adalah hari untuk kita berterima kasih kepada ibu kerana telah melahirkan kita, menyayangi kita dan membesarkan kita hingga dewasa,” jelasnya.
Nicholas mengulas lanjut, beliau mahu menghargai ibunya dengan memberikan sesuatu yang belum pernah diterima wanita itu sebagai tanda penghargaan atas segala usaha dan pengorbanan sepanjang membesarkannya.
Selain itu, Nicholas turut menzahirkan rasa terima kasih kepada ibunya yang banyak memberi nasihat dan teguran sehingga membentuk dirinya menjadi insan yang lebih baik hari ini.
“Jasa ibu memang perlu dihargai kerana ibu banyak berkorban demi memastikan anak-anak mampu melangkah lebih jauh dalam kehidupan,” tambahnya.
Sementara itu, Nurkia Sawal, 23, berkata Hari Ibu mengingatkan dirinya tentang betapa besarnya kasih sayang seorang ibu yang sentiasa ada bersama anak-anak dalam setiap keadaan.

Menurutnya, sambutan itu menjadi ruang untuk menghargai segala penat lelah dan pengorbanan seorang ibu dalam membesarkan anak-anak.
“Hari Ibu ialah hari yang sangat bermakna untuk menghargai segala pengorbanan, kasih sayang dan penat lelah seorang ibu,” katanya.
Sebagai tanda penghargaan, Nurkia berkata akan membantu ibunya melakukan kerja rumah, memberikan hadiah kecil serta meluangkan masa bersama ibunya supaya wanita itu berasa dihargai dan disayangi.
“Selamat Hari Ibu, ibu. Terima kasih kerana sentiasa menjaga, menyayangi dan mendoakan saya.
“Saya sangat bersyukur mempunyai ibu seperti ibu. Semoga ibu sentiasa sihat, bahagia dan dipermudahkan segala urusan,” ucapnya.
Tambah Nurkia, jasa seorang ibu perlu dihargai kerana mereka sanggup menjaga, mendidik dan memberi kasih sayang kepada anak-anak tanpa mengharapkan balasan.

Bagi Mcaldoulf Gibss Maket, 23, Hari Ibu pula merupakan hari untuk menghargai segala pengorbanan, kasih sayang dan usaha seorang ibu dalam membesarkan anak-anak.
Katanya, seorang ibu sentiasa memberi sokongan dan menjaga keluarga tanpa mengharapkan sebarang balasan daripada anak-anak.
“Saya menghargai ibu dengan meluangkan masa bersama beliau seperti makan atau membeli-belah bersama, membantu kerja rumah dan memberi hadiah kecil sebagai tanda terima kasih atas segala jasanya,” ujarnya.
Dalam ucapan khas sempena Hari Ibu, Gibss turut meluahkan rasa syukur kerana memiliki seorang ibu yang sentiasa menjadi penyokong dan penasihat dalam kehidupannya.
“Terima kasih kerana sentiasa menyayangi, menjaga dan memberi semangat kepada saya.
“Saya sangat bersyukur mempunyai ibu seperti ibu sebab sentiasa menjadi penyokong dan penasihat atas segala keputusan yang saya buat dalam kehidupan. Semoga ibu sentiasa sihat dan bahagia,” luahnya.
Menurutnya, jasa ibu perlu sentiasa dihargai kerana mereka banyak berkorban masa, tenaga dan perasaan demi memastikan anak-anak membesar dengan baik dan berjaya dalam kehidupan.
Walaupun setiap anak memiliki cara berbeza untuk menghargai ibu mereka, satu perkara yang jelas ialah kasih dan pengorbanan seorang ibu tetap menjadi insan paling dihargai dalam kehidupan mereka.
Oleh Masrin Affirah