Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • Maryam Duriankimchi imbangi budaya Malaysia, Korea dalam didik anak
  • HIBURAN

Maryam Duriankimchi imbangi budaya Malaysia, Korea dalam didik anak

Utusan Sarawak 5 hours ago
PEMPENGARUH Maryam You Narae hadir sebagai tetamu program ShowBuzz di Bernama Radio hari ini, bagi berkongsi cerita di sebalik single terbaharunya berjudul Hidayah. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Gelagat comel Rina dan Rian, anak pasangan pempengaruh media sosial Maryam Yoo Narae dan Ryzal Ibrahim, sering mencuri perhatian warga maya dengan telatah mereka yang petah, bijak dan menghiburkan dalam gabungan dua budaya berbeza.

Dibesarkan dalam keluarga yang menggabungkan budaya Korea Selatan daripada ibunya dan Malaysia daripada bapanya, anak sulung pasangan itu, Rina, yang kini berusia lima tahun bukan sahaja petah bertutur lebih daripada satu bahasa bahkan turut diterapkan nilai hormat dan adab mengikut budaya kedua-dua negara. 

Kini, anak bongsu mereka, Rian yang baru berusia setahun, turut dibiasakan dengan pendekatan sama seperti kakaknya termasuk menerapkan adab dan sikap menghormati orang lebih tua dalam kehidupan harian, selain didedahkan kepada penggunaan bahasa Korea dan Melayu sejak kecil.

Berkongsi pengalaman membesarkan anak dalam persekitaran dua budaya, Maryam, 34, atau lebih dikenali sebagai Maryam Duriankimchi berkata beliau percaya nilai hormat dan adab boleh dipupuk melalui amalan harian agar Rina dan Rian membesar dengan lebih memahami budaya Korea Selatan dan Malaysia.

“Misalnya, cara kita memberi salam. Di Korea apabila berjumpa dengan orang tua, kita akan menyapa dengan ‘annyeonghaseyo’ (hello), tak ada salam serta cium tangan seperti budaya di Malaysia. Jadi, bila Rina pergi Korea, dia akan bagi salam sebab dah terbiasa dengan budaya itu ketika membesar di sini. 

“Sekarang, saya cuba biasakan dia (Rina) ucap ‘annyeonghaseyo’ dan  ‘gomapseumnida’ (terima kasih). Saya juga ajar kalau mereka dapat sesuatu, cakap terima kasih dulu…kalau orang tua ada, bagi tempat duduk,” katanya. 

GABUNG budaya Malaysia dan Korea, Maryam terapkan nilai hormat dalam kehidupan anak-anak. Foto facebook

Walaupun kedua-dua anaknya itu masih kecil, Maryam berkata beliau tetap cuba menerapkan nilai tanggungjawab dan adab dalam rutin harian mereka termasuk menerusi etika ketika makan.

“Dalam budaya Korea, ahli keluarga paling muda kebiasaannya akan menyediakan sudu dan kelengkapan makan sebelum makan sebagai tanda hormat kepada orang lebih tua. Jadi, saya ajar juga tentang perkara itu kerana ia memang saya amalkan dalam kehidupan harian,” katanya.

Ingin melihat kedua-dua permata hatinya itu membesar dengan memahami kedua-dua budaya secara semula jadi tanpa melupakan identiti dan budaya asal, Maryam berkata Rina dan Rian juga turut diajar akan adab untuk menjawab dengan sopan dengan sesiapa sahaja mengikut bahasa mereka yang menegurnya. 

“Saya cuba seimbangkan penggunaan bahasa Melayu dan Korea dalam pertuturan harian. Kalau Rina dengan saya, saya cuba cakap bahasa Korea sebab di luar semua orang cakap bahasa Melayu atau Inggeris. Hanya dengan saya sahaja, Rina boleh belajar bahasa Korea. 

“Jika Rina tak boleh cakap bahasa Korea, saya risau dia tak faham budaya Korea. Tetapi alhamdulillah, Rina tahu jika orang cakap bahasa Melayu dengan dia, dia akan jawab bahasa Melayu. Jika bahasa Inggeris, Rina akan jawab bahasa sama,” katanya. 

Menyedari gelagat anak-anaknya sering menjadi perhatian warga maya dan disifatkan bijak oleh ramai pengikut di media sosial, Maryam turut menitipkan nasihat kepada ibu bapa agar tidak terlalu membandingkan anak masing-masing dengan orang lain sebaliknya memberi lebih perhatian kepada masa berkualiti dengan keluarga.- Bernama

Continue Reading

Previous: Penyanyi popular India, Jubin Nautiyal mahu kenali lebih jauh muzik dan budaya Malaysia

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.