
KOTA SAMARAHAN: Ketidaktentuan ekonomi global termasuk isu kenaikan harga minyak tidak akan menjejaskan tambang serta operasi perkhidmatan Bas.My di negara ini.
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, kerajaan memberi jaminan tambang Bas.My akan kekal kerana perkhidmatan tersebut menerima subsidi termasuk subsidi minyak.
“Tambang bas ini tidak naik dan akan kekal. Untuk pemegang kad konsesi, mereka terus menikmati tambang percuma.

“Bagi pas bulanan pula, harganya kekal RM30 dan sebenarnya telah diturunkan daripada RM50 sebelum ini untuk menggalakkan lebih ramai rakyat menggunakan pengangkutan awam.
“Tambang juga tidak akan naik kerana pengusaha menerima subsidi minyak dan kerajaan membayar mengikut kontrak yang dipersetujui,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Laluan Baharu Bas.my Kuching di The Summer Mall, Samarahan, hari ini.

Tambah beliau, kerajaan juga sedang merancang memperluaskan perkhidmatan Bas.My ke bandar-bandar kedua selepas pelaksanaannya di semua ibu negeri seluruh negara.
“Fasa pertama kita fokus kepada ibu negeri seperti Kuching, Johor Bahru, Seremban dan Ipoh.
“Fasa kedua nanti kita mahu perluaskan ke bandar kedua seperti Sibu dan Bintulu di Sarawak,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau mengulas bagi kawasan luar bandar pula, kerajaan masih meneruskan subsidi Sistem Sokongan Sementara Perkhidmatan Bas Henti-Henti (ISBSS) kepada pengusaha bas tempatan bagi memastikan perkhidmatan pengangkutan awam terus dapat disediakan kepada rakyat.
Untuk rekod, enam laluan baharu Bas.My Kuching yang mula beroperasi pada 1 April 2026 ialah Laluan Q11 Arang Road, Laluan Q12 Taman Hui Sing, Laluan Q13 Siburan, Laluan Q14 Summer Mall, Laluan Q15 Stutong Baru/Kuching Sentral dan Laluan Q16 Taman Sukma.
Bas.My kini beroperasi di semua ibu negeri dengan sekitar 700 bas digunakan di bawah sistem dan penjenamaan yang diseragamkan di seluruh negara.
Oleh Masrin Affirah