
KUCHING: Dua warga emas mengalami cedera ringan selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mitsubishi Pajero yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan kendiri berhampiran stesen minyak Petronas Batu 4, Green Height, tengah hari ini.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima 11.52 pagi.
“Pasukan tiba di lokasi 12.00 tengah hari dan mendapati kemalangan kendiri melibatkan sebuah Mitsubishi Pajero dengan dua mangsa masih terperangkap di dalam kenderaan.

“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) kemudian bertindak menjalankan operasi menyelamat untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa,” kata Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) Mohd Norarbi Jamain dalam satu kenyataan hari ini.
Mangsa lelaki berusia 68 tahun dan wanita berusia 56 tahun berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba dan didapati hanya mengalami cedera ringan.
Kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.
Operasi berjaya dikawal 12.23 tengah hari sebelum tamat sepenuhnya 12.45 tengah hari selepas keadaan di lokasi dipastikan selamat.