
MAKKAH: Seorang jemaah haji lelaki Malaysia berusia 55 tahun meninggal dunia akibat serangan jantung di sini, semalam.
Lembaga Tabung Haji (TH) memaklumkan Allahyarham yang berasal dari Cheras, Selangor, disahkan meninggal dunia di King Abdullah Medical City pada 8.01 pagi waktu tempatan.
Menurut TH, Allahyarham hadir ke Tanah Suci bersama isteri serta empat ahli keluarga lain dan merupakan jemaah daripada kumpulan KT12 yang menginap di Al Kiswah Hotel.
“Jenazah telah dibawa ke Masjidil Haram untuk disolatkan selepas solat asar sebelum selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Al Sharayea.
“TH mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham dan mendoakan agar mereka diberikan ketabahan menghadapi ujian ini,” menurut kenyataan itu.
Setakat ini, tiga jemaah haji Malaysia dilaporkan meninggal dunia di Tanah Suci sejak operasi haji musim 1447H/ 2026M bermula. – Bernama