
SIBU: Satu siasatan menyeluruh perlu dilaksanakan segera bagi mengenal pasti punca sebenar insiden renjatan elektrik yang meragut nyawa seorang pelajar di sebuah sekolah di Daro, selain memastikan kejadian sama tidak berulang pada masa hadapan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, tragedi itu amat menyedihkan dan tiada siapa menginginkan perkara sedemikian berlaku.
“Kita semua amat sedih dan dukacita dengan apa yang berlaku dan hanya mampu mengucapkan takziah kepada keluarga yang terlibat.
“Tiada siapa yang mahu perkara seperti ini berlaku, namun memandangkan ia sudah terjadi, kita perlu mengambilnya sebagai satu pengajaran untuk melihat bagaimana kita boleh membantu memastikan insiden sama tidak berulang,” katanya ketika dihubungi media, hari ini.

Menurutnya, difahamkan Kementerian Pendidikan (KPM) bersama beberapa agensi berkaitan akan menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian tersebut.
Katanya, hasil siasatan itu nanti diharap dapat memberikan gambaran jelas mengenai punca kemalangan berkenaan.
Safiee turut menekankan keperluan untuk meneliti sistem pendawaian elektrik sekolah terbabit memandangkan bangunan sekolah yang telah lama dibina mungkin memerlukan pembaharuan secara menyeluruh.
“Bukan sahaja pendawaian sedia ada perlu diperiksa, tetapi juga kemungkinan terdapat pendawaian tambahan yang dilakukan sebelum ini tanpa mengikut spesifikasi atau prosedur yang betul.
“Ini termasuk jika ada kerja pendawaian dilakukan oleh pihak yang tidak bertauliah,” katanya.
Beliau turut berpandangan bahawa kejadian tersebut wajar dijadikan titik tolak untuk melakukan pemeriksaan keselamatan di sekolah-sekolah lain, khususnya sekolah berasaskan kayu yang lebih terdedah kepada risiko.
“Dalam aspek keselamatan, kita tidak boleh melihat kepada kos semata-mata, tetapi perlu melihat kesannya terhadap keselamatan pelajar,” ujarnya.
Mengulas laporan bahawa kejadian berlaku ketika mangsa mahu mengambil wuduk, beliau berkata, penggunaan bahan tertentu seperti paip besi di kawasan sekolah juga perlu dinilai semula.
“Kalau boleh, penggunaan paip berasaskan besi mungkin boleh digantikan dengan bahan lain seperti plastik kerana ia kurang mengalirkan elektrik sekiranya berlaku kebocoran arus,” jelasnya.
Beliau turut menekankan pentingnya pendidikan kesedaran keselamatan elektrik kepada pelajar, terutama penghuni asrama.
Katanya, pelajar perlu didedahkan dengan tindakan awal yang betul sekiranya berlaku renjatan elektrik supaya usaha menyelamat tidak mengundang lebih banyak mangsa.
“Saya difahamkan mangsa yang meninggal dunia cuba membantu rakannya yang terkena renjatan elektrik terlebih dahulu.
“Sebab itu pelajar perlu tahu langkah keselamatan asas seperti tidak menyentuh mangsa secara langsung dan menggunakan bahan yang boleh menghalang aliran elektrik ketika membantu,” katanya.
Pada masa sama, beliau meminta orang ramai khususnya pengguna media sosial supaya berhati-hati ketika memberikan komen berhubung tragedi tersebut.
“Kita jangan menuding jari kepada mana-mana pihak kerana tiada siapa yang mahu kejadian ini berlaku.
“Yang penting sekarang ialah semua pihak berkaitan melihat semula kelemahan yang ada dan melakukan penambahbaikan,” katanya.
Beliau turut berharap pihak sekolah, khususnya guru kaunseling, dapat memberikan sokongan emosi dan kaunseling sewajarnya kepada keluarga mangsa serta pelajar yang terkesan.
“Kepada keluarga arwah, banyakkan bersabar. Saya percaya ini satu kehilangan yang amat sukar diterima.
“Kita sama-sama mendoakan agar roh arwah dicucuri rahmat dan ahli keluarga terus tabah menghadapi ujian ini,” katanya.
Beliau turut mendoakan agar seorang lagi pelajar yang dilaporkan masih menerima rawatan segera sembuh dan dapat kembali meneruskan persekolahan seperti biasa.
Terdahulu Ketua Polis Daerah Matu Daro, DSP Rahim Mihos dalam kenyataannya semalam memberitahu, seorang pelajar lelaki tingkatan empat maut terkena renjatan elektrik manakala seorang lagi cedera dalam kejadian berlaku di sebuah sekolah menengah di sini, malam Rabu.
Menurutnya, pihak polis menerima makluman daripada pihak sekolah mengenai kejadian itu kira-kira 8.00 malam, ketika tiga pelajar lelaki sedang mengambil air wuduk.
Mangsa Allahyarham Fahrin Jumarudy Abdullah, 16, disahkan maut di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan. Seorang lagi mangsa berusia 15 tahun, pelajar tingkatan tiga, telah dikejarkan ke Hospital Daro untuk rawatan lanjut sebelum dirujuk ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sibu. Seorang lagi pelajar berusia 15 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Oleh Akun Giman