
KANOWIT: Perarakan Niti Daun yang julung kali diadakan hari ini berlangsung meriah dengan penyertaan lebih 1,000 peserta melibatkan 35 kontinjen, sekali gus mencipta sejarah baharu bagi Daerah Kanowit.
Seawal pagi, orang ramai mula memenuhi laluan utama pekan bagi menyaksikan perarakan yang mengetengahkan keunikan budaya dan warisan masyarakat tempatan menerusi pakaian tradisional, paluan taboh serta persembahan kebudayaan.

Acara dimulakan dengan upacara miring pada 8.00 pagi sebelum perarakan bermula sejam kemudian dalam suasana penuh meriah.
Para peserta tampil dengan pelbagai busana tradisional lengkap dengan hiasan manik, tengkolok dan kain pua kumbu yang mencerminkan identiti budaya masing-masing.

Selain itu, beberapa kontinjen turut mempersembahkan alunan muzik etnik dan seruan tradisional yang menarik perhatian pengunjung sepanjang laluan perarakan.
Menteri Perpaduan Negara, Dato Sri Aaron Ago Dagang hadir memeriahkan acara tersebut bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana, ADUN Machan, Allan Siden Gramong serta Pegawai Daerah Kanowit Cerisologo Sabut.

KONTINJEN KEMAS 2 Kanowit berarak sambil mengenakan busana tradisional di perarakan Niti Daun.
Turut mengambil bahagian ialah kontinjen daripada agensi kerajaan, komuniti rumah panjang, persatuan kebudayaan dan pasukan keselamatan yang masing-masing menampilkan persembahan tersendiri.
Oleh Tarani Lanting