Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Kopi, khemah, kreativiti: Kafe Madden’s Coffee Lab jadi tarikan baharu di Kuching
  • RENCANA

Kopi, khemah, kreativiti: Kafe Madden’s Coffee Lab jadi tarikan baharu di Kuching

Utusan Sarawak 8 hours ago
KAFE Madden’s Coffee Lab, sekali gus mencetuskan tarikan baharu dalam kalangan pengunjung.

PETRA JAYA: Daripada sekadar hobi berkhemah, Muhaiyadin Mohd. Morshidi berjaya mengubah minat itu menjadi sebuah perniagaan kafe unik yang kini dikenali sebagai Madden’s Coffee Lab, sekali gus mencetuskan tarikan baharu dalam kalangan pengunjung di sekitar bandar raya ini.

Bagi Muhaiyadin, idea untuk memulakan perniagaan tersebut lahir secara tidak dirancang apabila beliau kerap berkhemah bersama keluarga dan rakan-rakan, sambil menikmati kopi yang dibancuh sendiri.

“Daripada situ, ada kawan yang mencuba menjual kopi. Kami bukan barista profesional, tetapi semuanya bermula daripada minat,” katanya.

MUHAIYADIN sibuk menyiapkan hidangan di Kafe Madden’s Coffee Lab.

Percubaan awal mereka menjual kopi dilakukan ketika aktiviti berkhemah di Damai Escape Park, berhampiran Damai Central dan berdepan dengan Kampung Budaya Sarawak.

Namun, perjalanan awal itu tidak selalu mudah. Musim tengkujuh dengan hujan lebat dan angin kencang menyebabkan kawasan tersebut kurang dikunjungi pelancong, sekali gus menjejaskan perniagaan kecil mereka.

Berikutan itu, mereka mula mencari lokasi baharu di sekitar Kuching yang lebih sesuai untuk operasi harian sebelum menemui sebuah tapak yang lebih strategik dan selamat untuk diteruskan sebagai premis tetap.

MENYEGARKAN… Minuman teh berkarbonat atau refresher tea.

Hari ini, Madden’s Coffee Lab bukan sekadar menawarkan kopi, malah pelbagai minuman lain turut disediakan termasuk matcha latte, strawberi, mangga dan pistachio, selain pistachio latte serta minuman teh berkarbonat atau refresher tea.

Pilihan makanan yang ditawarkan juga pelbagai, antaranya ayam gepuk berempah, mi sapi, wafel rendang serta pencuci mulut seperti aiskrim dan wafel aiskrim.

Menurut Muhaiyadin, konsep kafe tersebut diinspirasikan daripada gaya hidup berkhemah yang menjadi hobinya, sekali gus menjadikan suasana santai sebagai identiti utama perniagaan itu.

HIDANGAN Chinese Beef Noodle lebih dikenali mi sapi.

“Kami memang suka berkhemah, jadi konsep ini kami bawa ke ruang perniagaan. Namun, kami perlu pastikan lokasi yang dipilih mempunyai keselamatan seperti pagar, CCTV dan kawalan keselamatan,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa lokasi operasi dipilih selepas mendapat kelulusan pihak berkuasa serta memenuhi aspek keselamatan termasuk rondaan berkala.

Dari segi operasi, kebanyakan makanan disediakan lebih awal di rumah bagi memastikan kualiti dan kebersihan terjaga, manakala di premis hanya peralatan seperti penggoreng udara dan ketuhar gelombang mikro digunakan untuk memanaskan hidangan.

HIDANGAN ayam gepuk.

Dalam perancangan masa hadapan, Muhaiyadin bercadang untuk menaik taraf premis dengan konsep bertema yang lebih selesa, termasuk penambahan elemen seperti tempat berlindung, kipas dan pendingin hawa bagi menarik lebih ramai pelanggan.

“Saya mahu mewujudkan suasana yang lebih selesa supaya pelanggan boleh menikmati makanan dalam keadaan santai seperti berkhemah,” katanya.

Setakat ini, Madden’s Coffee Lab mula mendapat sambutan menggalakkan, termasuk pelanggan tetap yang kembali setiap bulan serta pengunjung baharu yang tertarik dengan konsep unik yang ditawarkan.

Video Ryza Kamil

Tags: RENCANA

Continue Reading

Previous: Jauhi sifat mazmumah, dekati redha Allah SWT

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.