
KUCHING: Seorang lelaki maut dalam kemalangan kendiri melibatkan sebuah kereta sedan di kawasan Sentosa Parade berhadapan Bank Rakyat, awal pagi tadi.
Dalam kejadian sekitar 1.32 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Sim Chin Leong, 34, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Sentosa bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi, didapati benar berlaku kemalangan kendiri melibatkan sebuah kereta sedan dan terdapat seorang mangsa masih berada di dalam kenderaan namun tidak tersepit,” katanya dalam satu kenyataan.
Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas.
“Selepas mangsa berjaya dikeluarkan dan dibawa ke tempat selamat, pihak KKM mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Oleh Shahrul Qaizat