
LOS ANGELES: Penyanyi pop Colombia, Shakira, semalam memperkenalkan pratonton lagu rasmi baharu bagi Piala Dunia 2026 menerusi pelancaran video ringkas yang dirakam di Stadium Maracana yang ikonik di Brazil.
Penyanyi yang turut menghasilkan lagu tema Piala Dunia 2010, Waka Waka, itu mengumumkan lagu berjudul Dai Dai menerusi hantaran di akaun Instagram miliknya.
Dalam video berdurasi 67 saat itu, Shakira dilihat berada di padang Stadium Maracana di Rio de Janeiro, lokasi beliau mengadakan konsert percuma di Pantai Copacabana pada Sabtu lalu yang dihadiri lebih dua juta penonton.
Sambil memegang Trionda, iaitu bola perlawanan rasmi Piala Dunia 2026, Shakira mempersembahkan petikan lagu tersebut dalam bahasa Inggeris bersama penari yang berpakaian mengikut warna pasukan, termasuk Amerika Syarikat dan Colombia.
Lagu itu diterbitkan bersama artis Nigeria, Burna Boy, dan dijadualkan dilancarkan secara rasmi pada 14 Mei ini. Klip video tersebut, yang turut dikongsi oleh akaun rasmi Piala Dunia FIFA, diakhiri dengan mesej: “Kami sudah bersedia!”
Shakira mempunyai hubungan erat dengan Piala Dunia apabila pernah membuat persembahan pada perlawanan akhir Piala Dunia 2006 dan 2014 selain menghasilkan Waka Waka untuk kejohanan 2010. – AFP.