
PUTRAJAYA: Bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli hari ini selesai memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas empat hari rakaman percakapan dibuat berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa melibatkan kontrak kerajaan bernilai hampir RM1.1 bilion.
Beliau berkata keseluruhan proses rakaman percakapan itu berjalan dengan lancar dan dikendalikan secara profesional oleh pegawai penyiasat SPRM.
“Soal siasat tadi habis dalam 4.30 petang. Saya dimaklumkan bahawa semua keterangan saya telah diambil sepenuhnya dan itu melengkapkan lebih kurang empat hari keterangan yang berjumlah 131 muka surat,” katanya kepada media selepas selesai sesi rakaman keterangan hampir tujuh jam, di sini hari ini.
Beliau berkata sesi rakaman selama empat hari itu lancar dan mengucapkan terima kasih kepada pasukan penyiasat SPRM yang profesional mengendalikannya dengan baik.
Rafizi berkata beliau tidak dimaklumkan tentang sebarang tindakan lanjut atau kemungkinan pertuduhan setakat ini kerana siasatan masih berjalan dan beberapa lagi saksi dijangka dipanggil.
Rafizi berkata beliau dimaklumkan bahawa sesi hari ini adalah yang terakhir setakat ini, namun tidak menolak kemungkinan akan dipanggil semula sekiranya diperlukan.
Sementara itu, beliau berkata fokus siasatan sepanjang empat hari itu tertumpu kepada proses dan prosedur membuat keputusan termasuk mesyuarat, dokumen dan minit berkaitan.
“Tumpuannya ialah proses dan prosedur membuat keputusan … tidak ada elemen wang langsung,” katanya.
Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata siasatan kes pelaburan bernilai RM1.1 bilion melibatkan perjanjian kerjasama strategik industri semikonduktor antara Kementerian Ekonomi dengan Arm Holdings dari United Kingdom kini pada peringkat akhir.
Azam berkata setakat ini, 22 saksi telah dipanggil termasuk penganalisis politik Chai Jin Shern atau James Chai bagi membantu siasatan, dan dua lagi saksi akan dipanggil, masing-masing seorang di Taiwan dan seorang lagi di Malaysia.
SPRM membuka kertas siasatan pada 16 Feb lepas susulan aduan daripada tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa perjanjian projek dibuat secara tergesa-gesa dan bersifat berat sebelah sehingga dijangka memberikan kesan kewangan kepada kerajaan.
Kes membabitkan urus niaga dengan Arm Holdings itu disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Mohd Hafaz Nazar mengesahkan proses merakam percakapan Rafizi hari ini adalah yang terakhir.
“Sesi rakaman percakapan Rafizi untuk hari ini yang bermula pada 10 pagi tadi telah berakhir pukul 4.30 petang. Hari ini ialah hari terakhir SPRM merakam percakapan Rafizi,” katanya dalam kenyataan. – Bernama