
PETRA JAYA: Inisiatif Old Kuching Smart Heritage (OKSHE) diserahkan kepada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan sebagai langkah strategik memperkukuh pelaksanaan agenda pembangunan warisan pintar di bandar raya Kuching.
Penyerahan itu dijangka membuka ruang lebih luas kepada pelaksanaan program berimpak tinggi termasuk pembangunan kandungan digital interaktif, pengalaman pelawat yang lebih imersif serta penglibatan aktif komuniti setempat dalam usaha pemeliharaan warisan bandar lama.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata penempatan OKSHE di bawah kementerian diyakini mampu mempercepat pelaksanaan pelbagai inisiatif berimpak tinggi di samping memperkukuh kerjasama strategik bersama agensi pelaksana seperti Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).

“Langkah ini juga membuka ruang kepada penglibatan lebih aktif komuniti setempat selain memperkukuh penyelarasan pelaksanaan program berkaitan warisan dan pelancongan bandar lama Kuching,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Serah Terima Penyerahan Old Kuching Smart Heritage (OKSHE) kepada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak di sini, hari ini.
“Dengan penyerahan ini, kita mahu memastikan pelaksanaan OKSHE dapat digerakkan dengan lebih tersusun, bersepadu dan memberi impak lebih besar kepada pembangunan warisan serta ekonomi pelancongan di Kuching,” tambahnya.
Beliau turut menjelaskan cadangan mewujudkan zon warisan di sepanjang laluan OKSHE sedang dipertimbangkan bagi memastikan pemuliharaan bangunan bersejarah dapat dilaksanakan secara lebih tersusun dan berkesan.

OKSHE yang dijenamakan semula pada Februari 2019 selaras dengan Agenda Ekonomi Digital Sarawak merupakan antara inisiatif utama di bawah Kerangka Ekonomi Digital Sarawak 2018–2022.
Inisiatif itu sebelum ini melalui penstrukturan tadbir urus apabila peranan pengerusi jawatankuasa diserahkan kepada Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Prestasi dan Penyampaian Perkhidmatan) pada 6 Mei 2019, sebelum diletakkan di bawah seliaan DBKU bermula 1 Mac 2023.
OKSHE bertujuan memperkukuh sektor pelancongan negeri melalui pemeliharaan serta promosi warisan sejarah dan budaya dengan memanfaatkan teknologi pintar, sekali gus menyasarkan pembangunan Old Kuching sebagai Bandar Warisan Pintar.
Berteraskan empat komponen utama iaitu Warisan Kampung, Warisan Tebingan Sungai, Warisan Perniagaan dan Laluan Warisan, pelbagai program telah dilaksanakan termasuk Projek E-Penambang, Program Gema Warisan Tradisi, Festival Cahaya dan Bunga Warisan Kuching, Temasya OKSHE, Bengkel Warisan serta Projek Mural Seni di Dock Lane.
Dalam usaha memperkukuh pengalaman pelawat, DBKU turut melaksanakan pemasangan papan tanda Old Kuching Heritage Trail melibatkan tiga papan tanda arah serta 25 papan tanda bangunan warisan bagi meningkatkan navigasi dan nilai interpretasi sejarah kawasan berkenaan.
Selain itu, inisiatif menceriakan kampung tradisional turut dilaksanakan melalui Program Pencantikan dan Kebersihan Warisan Kampung Hijau melibatkan Kampung Boyan, Kampung Sourabaya, Kampung Gersik dan Kampung Bintangor Kecil.
Pelaksanaan OKSHE terus dilihat sebagai pemangkin kepada usaha menjadikan Kuching sebagai destinasi pelancongan warisan pintar yang berdaya saing di peringkat serantau dan antarabangsa.
Oleh Norman B