Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • ‘Jangan bimbang, Allah jaga kami’ – Jemaah KT051
  • NASIONAL

‘Jangan bimbang, Allah jaga kami’ – Jemaah KT051

Utusan Sarawak 8 hours ago

MAKKAH: “Saya ada hantar mesej kepada semua keluarga beritahu jangan bimbang. Saya kata, Insya-Allah, Allah SWT akan lindungi saya dan semua jemaah di sini.”

Demikian luahan penuh tenang Mat Isa Hassan, 65, seorang petani dari Sabak Bernam, Selangor sebaik tiba di bumi Makkah selepas melalui pengalaman tidak dijangka apabila pesawat membawa beliau bersama ratusan jemaah lain terpaksa melakukan pendaratan di Muscat, Oman susulan masalah teknikal pada Isnin.

Walaupun berdepan situasi tidak dijangka itu, Mat Isa berkata keyakinan kepada Allah SWT serta kerjasama erat sesama jemaah sepanjang berada di Oman banyak menenangkan keadaan.

“Memang keluarga di Malaysia risau bila dapat tahu pesawat tidak terus sampai ke Jeddah, tetapi saya sempat hubungi mereka dan pesan jangan terlalu bimbang. Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan,” katanya ketika ditemui sejurus tiba di penginapan jemaah di Rehab Al Janadriyah, di sini, hari ini.

Sementara itu, seorang suri rumah Bibit Tugiman, 74, mengakui beliau pada awalnya tidak menyedari situasi yang berlaku sehinggalah dimaklumkan kru penerbangan bahawa pesawat telah mendarat di Oman.

“Makcik gembira dan terharu… sebenarnya makcik tak tahu apa berlaku. Makcik cuma tahu pesawat sudah mendarat di Oman bila hendak turun. Bila diberitahu semuanya untuk keselamatan, makcik reda sahaja,” katanya sambil menahan sebak.

Bibit berkata sukar digambarkan rasa syukur apabila beliau akhirnya selamat menjejakkan kaki di Tanah Suci selepas melalui perjalanan yang lebih panjang daripada dijadualkan.

“Bila nampak tanah Makkah, makcik rasa macam semua penat, risau dan debaran itu hilang. Yang ada cuma rasa syukur sebab akhirnya sampai juga,” katanya.

Lembaga Tabung Haji (TH) memaklumkan penerbangan KT051 yang mendarat di Lapangan Terbang Muscat, Oman pada 4 Mei lepas susulan masalah teknikal, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah pada 5.33 pagi waktu tempatan hari ini.

Kesemua 278 jemaah kemudiannya dibawa terus ke bangunan penginapan mereka di Rehab Al Janadriyah di sini dan disambut oleh Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun bersama barisan pengurusan serta petugas TH yang telah bersiap siaga lebih awal.

Mohd Hisham berkata TH kekal komited meletakkan kebajikan dan keselamatan jemaah sebagai keutamaan utama walaupun berdepan situasi luar jangka melibatkan operasi penerbangan.

“Walaupun menghadapi sedikit situasi yang tidak dapat dielakkan atas faktor teknikal penerbangan, namun atas usaha semua pihak, semua jemaah yang terlibat dapat dibawa dengan selamat ke Tanah Suci dan operasi haji diteruskan seperti biasa,” katanya.- Bernama

Continue Reading

Previous: Siasatan fokus prosedur, keputusan usaha sama – Rafizi
Next: SPRM jejak AS$2 bilion lagi dana 1MDB untuk dibawa pulang – Azam

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.