Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • 1MDB: SPRM usaha bawa pulang lapan lagi karya seni selewat-lewatnya hujung tahun ini
  • NASIONAL

1MDB: SPRM usaha bawa pulang lapan lagi karya seni selewat-lewatnya hujung tahun ini

Utusan Sarawak 17 hours ago
KAKITANGAN Balai Seni Lukis Negara meletakkan lukisan ternama yang berjaya dipulihkan yang sebelum ini dibeli menggunakan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di rumah lelong Sotheby’s di New York semasa sidang media di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini. SPRM kini dalam proses mendapatkan semula lapan lagi karya seni yang dikaitkan dengan skandal 1MDB bernilai lebih RM120 juta selewat-lewatnya hujung tahun ini. foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini dalam proses mendapatkan semula lapan lagi karya seni yang dipercayai mempunyai kaitan dengan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dianggarkan lebih RM120 juta pada hujung tahun ini. 

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata pihaknya telah mengenal pasti 12 karya seni untuk dibawa pulang ke Malaysia, dengan empat daripadanya telah berjaya diperoleh semula.

Beliau berkata antara karya seni yang masih dalam proses pemulangan ialah hasil karya Henri Matisse bernilai AS$D52,500; Alexander Calder (AS$125,000); Pablo Picasso (AS$1.265 juta); William H. Bailey (AS$66,250) serta Raoul Dufy (AS$40,000), manakala nilai karya Salvador Dalí dan Gustave Loiseau masih dalam proses pengesahan.

KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki bersama Wakil Kedutaan Amerika Syarikat David H. Gamble Jr (kiri) bersama salah satu lukisan ternama yang berjaya dipulihkan yang sebelum ini dibeli menggunakan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di rumah lelong Sotheby’s di New York semasa sidang media di Ibu Pejabat SPRM hari ini. SPRM kini dalam proses mendapatkan semula lapan lagi karya seni yang dikaitkan dengan skandal 1MDB bernilai lebih RM120 juta selewat-lewatnya hujung tahun ini. Foto BERNAMA

“Secara keseluruhan, nilai lukisan yang masih dalam proses pemulihan dianggarkan AS$1.7 juta bersamaan dengan kira-kira RM6.9 juta.

“SPRM juga sedang giat berusaha untuk membawa pulang hasil jualan sebuah lukisan oleh Claude Monet bertajuk ‘Vétheuil au Soleil’ yang telah dijual di Switzerland dengan nilai anggaran EUR25.2 juta, atau kira-kira RM114 juta,” katanya pada sidang media berhubung pemulangan karya seni berkaitan 1MDB di sini hari ini.

Azam berkata dana berkenaan kini tertakluk kepada prosiding penyitaan oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat, dan usaha pemulihan terus dipergiat melalui saluran perundangan serta kerjasama dengan pihak berkuasa di Amerika Syarikat dan Switzerland.

Beliau berkata kejayaan mendapatkan semula karya seni berkenaan merupakan sebahagian daripada pencapaian lebih besar Malaysia dalam usaha pemulihan aset 1MDB.

SPRM sebelum ini, katanya, berjaya membawa pulang empat karya seni antarabangsa yang dibeli menggunakan dana 1MDB menerusi rumah lelong Sotheby’s di New York pada 14 April lepas.

“Semua karya seni ini dikesan melalui transaksi di rumah lelong bertaraf dunia seperti Christie’s dan Sotheby’s di New York, dan berjaya diperoleh semula melalui proses perundangan serta kerjasama strategik antarabangsa membabitkan agensi seperti Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS$OJ).

“Karya-karya ini tidak dirampas secara fizikal, sebaliknya diserahkan melalui proses sah di sisi undang-undang termasuk pelaksanaan Surat Kuasa Wakil (POA) oleh AS$OJ kepada SPRM menerusi Jabatan Peguam Negara.

“Ini membuktikan bahawa pendekatan pemulihan aset dibuat berdasarkan proses perundangan dan diplomatik yang teliti,” katanya.

Azam berkata empat karya seni yang telah dibawa pulang dengan nilai dianggarkan AS$198,125 (RM786,556) akan diserahkan kepada Balai Seni Negara dalam masa terdekat.

KAKITANGAN Balai Seni Lukis Negara meletakkan lukisan ternama yang berjaya dipulihkan yang sebelum ini dibeli menggunakan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di rumah lelong Sotheby’s di New York semasa sidang media di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini. SPRM kini dalam proses mendapatkan semula lapan lagi karya seni yang dikaitkan dengan skandal 1MDB bernilai lebih RM120 juta selewat-lewatnya hujung tahun ini. Foto BERNAMA

Empat karya seni itu ialah karya oleh Joan Miró bertajuk “Composition” (1953) dengan nilai pembelian AS$93,750 dan karya Maurice Utrillo bertajuk “Maison de rendez-vous, rue Saint-Rustique, Montmartre” (1934) bernilai ASD50,000.

Karya lain termasuklah hasil seni Balthus bertajuk “Étude pour femme couchée” (1948) bernilai AS$28,125 dan karya Pablo Picasso bertajuk “L’Ecuyère et les clowns” (1961) dengan nilai AS$26,250. 

Azam berkata semua lukisan berkenaan melalui proses pengangkutan yang ketat dan teratur bermula di New York pada 8 April sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 10 April lepas.

“Karya itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat SPRM di bawah kawalan keselamatan tinggi melibatkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Balai Seni Negara dan petugas logistik,” katanya.

Mengulas sama ada karya seni berkenaan akan dijual, Azam berkata perkara itu akan ditentukan oleh Kementerian Kewangan (MOF).- Bernama

Continue Reading

Previous: Bersederhana bawa barangan ke tanah suci bantu mudah pergerakan
Next: Bernama anjur Forum Media Hawana esok, bincang isu berkaitan industri

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.