
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka meningkat pada dagangan Rabu, seiring dengan kenaikan semalaman Wall Street ketika penurunan harga minyak memulihkan sentimen para pelabur, kata penganalisis.
Pada 9.42 pagi ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI menokok sebanyak 9.54 mata atau 0.55 peratus kepada 1,756.97 daripada paras penutup 1,747.43 pada akhir dagangan semalam.
Sewaktu pasaran dibuka, indeks penanda aras itu naik 1.65 mata kepada 1,749.08 dan meneruskan momentum peningkata dalam sesi dagangan awal.
Sentimen pasaran secara meluas adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 432 berbanding 275 manakala 445 tidak berubah, 1,480 tidak diniagakan dan 10 lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 698.93 juta saham bernilai RM441.26 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street mengakhiri dagangan secara keseluruhannya lebih tinggi semalam, termasuk kedua-dua pasaran Nasdaq dan S&P 500 yang memberi reaksi positif terhadap keputusan pendapatan memberangsangkan, sekali gus mencatat paras tertinggi baharu.
Bagaimanapun, situasi di Asia Barat kekal goyah walaupun harga minyak mentah penanda aras global, Brent turun ke paras AS$110 setong.
“Di peringkat tempatan, FBM KLCI meneruskan kenaikan dan mengakhiri dagangan pada paras yang menghampiri 1,750 atau sekitar paras tertinggi dalam masa dua bulan.
“Tindakan pengumpulan saham yang berterusan pada saat-saat akhir membabitkan saham berkaitan indeks oleh dana asing, terbukti ketara kebelakangan ini dan menyokong pasaran tempatan pada paras semasa,” katanya kepada Bernama.
Sehubungan itu, Thong menjangkakan indeks utama itu bergerak dalam julat 1,740 hingga 1,760 pada hari ini.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank, Public Bank dan Tenaga Nasional masing-masing menokok empat sen kepada RM11.24, RM4.79 dan RM14.84.
CIMB Bank pula naik sembilan sen kepada RM7.98 manakala IHH Healthcare kekal tidak berubah pada RM8.83.
Bagi saham paling aktif, Manforce Group susut tiga sen kepada 35 sen, GIIB Holdings turun 1.5 sen kepada 17 sen, Jentayu Sustainables naik setengah sen kepada 29.5 sen dan Zetrix AI tidak berubah pada 86.5 sen.
Kaunter paling untung didahului Malaysian Pacific Industries yang melonjak RM2.44 kepada RM39.94, KESM Industries meningkat 22 sen kepada RM4.67, Unisem naik 18 sen kepada RM3.68 dan Vitrox Corp menokok 16 sen kepada RM5.76.
Sebaliknya, kaunter paling rugi setakat ini adalah Nestle yang turun 20 sen kepada RM101.50, Fraser & Neave Holdings susut 16 sen kepada RM29.40, Petronas Chemicals merosot 10 sen kepada RM5.82 dan PJBumi jatuh tujuh sen kepada RM3.22.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas meningkat 66.93 mata kepada 12,954.27, Indeks FBM Top 100 menambah 68.60 mata kepada 12,800.22, Indeks FBM Emas Shariah naik 51.99 mata kepada 12,918.54, Indeks FBM Mid 70 melonjak 94.41 mata kepada 18,636.89 dan Indeks FBM ACE menokok 8.36 mata kepada 4,609.43.
Mengikut sektor, Indeks Tenaga turun 2.02 mata kepada 833.61 manakala Indeks Perladangan merosot 8.14 mata kepada 8,999.06.
Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.06 mata kepada 197.73 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan sebaliknya melonjak 133.97 mata kepada 20,268.30.- Bernama