Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Bantuan khas Gawai manfaat 1,681 penerima di Bintulu
  • Utara
  • WILAYAH

Bantuan khas Gawai manfaat 1,681 penerima di Bintulu

Utusan Sarawak 11 hours ago
MAJANG berucap ketika merasmikan Program Sejambak Kasih Hari Gawai 2026 di Bintulu.

BINTULU: Program Sejambak Kasih Hari Gawai 2026 memberi manfaat kepada 1,681 penerima bantuan kebajikan di Bahagian Bintulu melalui pemberian sumbangan khas bagi meringankan beban menjelang musim perayaan.

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Majang Renggi berkata, pelaksanaan program oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu mencerminkan keprihatinan berterusan kerajaan terhadap kebajikan rakyat, khususnya golongan memerlukan.

Beliau berkata, sebanyak RM161,100 diperuntukkan bagi menjayakan bantuan khas tersebut yang disalurkan kepada penerima bantuan bulanan di bahagian berkenaan. 

“Ini jelas membuktikan kesungguhan kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat terus diberi perhatian khususnya dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup yang kian mencabar,” katanya ketika berucap merasmikan majlis berkenaan di Commerce Square Mall di sini, hari ini.

MAJANG Renggi (duduk tengah) bergambar bersama penerima dan tetamu yang hadir pada Program Sejambak Kasih Hari Gawai 2026 di sebuah pusat beli-belah di Bintulu.

Pada majlis itu, 100 penerima dipilih menerima sumbangan secara simbolik melibatkan wang tunai tambahan RM100 selain hamper tajaan Petronas.

Menurutnya, bantuan berkenaan diharap dapat membantu penerima membuat persiapan Hari Gawai dengan lebih teratur di samping mengurangkan tekanan kos sara hidup.

Mengulas lanjut, beliau berkata, seramai 2,843 individu direkodkan sebagai penerima bantuan bulanan di Bahagian Bintulu bagi April 2026 dengan jumlah agihan sebanyak RM1.24 juta.

“Angka ini menunjukkan komitmen berterusan dalam menyediakan sokongan kepada golongan yang memerlukan,” jelasnya.

Kata beliau lagi, bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini pula, kira-kira RM5 juta telah disalurkan bagi tujuan kebajikan di kawasan tersebut. 

MAJANG (kanan) menyampaikan sumbangan kepada penerima pada Program Sejambak Kasih Hari Gawai 2026 yang berlangsung di Bintulu.

Majang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju memberitahu, kerajaan akan terus mempergiat usaha memastikan bantuan disalurkan secara menyeluruh tanpa mengira latar belakang, selaras dengan pendekatan pembangunan inklusif.

Dalam pada itu, beliau turut menghargai sumbangan berterusan Petronas sebagai rakan strategik dalam pelaksanaan program kebajikan.

Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan jalan raya ketika pulang ke kampung halaman sempena sambutan Gawai.

Oleh Carolyne Utih

Continue Reading

Previous: Penutupan separuh laluan KM894.2 Lebuh Raya Pan Borneo untuk kerja pembinaan jejantas pada Jumaat ini
Next: Loji Salim capai 68.24 peratus, siap sebahagian Disember ini

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.