Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Bazar Gawai Dayak Miri dijangka jana RM1.8 juta
  • TEMPATAN

Bazar Gawai Dayak Miri dijangka jana RM1.8 juta

Utusan Sarawak 15 hours ago
RASMI… Datuk Amar Douglas Uggah Embas melakukan simbolik menuai padi semasa perasmian Bazar Gawai Dayak dan Festival Etnobudaya di Bandar Baru Permyjaya, Miri semalam.

MIRI: Hujan yang turun sejak awal acara tidak mematahkan semangat orang ramai untuk memeriahkan Bazar Gawai Dayak dan Festival Etnobudaya di Bandar Baru Permyjaya, sekali gus mencerminkan sambutan luar biasa yang dijangka menjana sehingga RM1.8 juta tahun ini.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata sambutan itu membuktikan festival kebudayaan berkenaan terus berkembang sebagai pemacu ekonomi rakyat, selain mengukuhkan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

Beliau berkata jumlah unjuran pendapatan itu dijangka meningkat berbanding RM1.3 juta yang direkodkan pada penganjuran sebelum ini di Kuching, hasil penyertaan lebih 70 peniaga.

“Peningkatan ini menunjukkan sambutan pasaran yang lebih kukuh serta potensi besar festival kebudayaan dalam menjana ekonomi, khususnya kepada peniaga kecil dan usahawan tempatan.

“Ia juga membuktikan bahawa budaya bukan sekadar warisan, tetapi aset ekonomi yang mampu diperkasa melalui pelancongan dan penglibatan komuniti,” katanya ketika merasmikan festival itu semalam.

Menurut Uggah, bazar berkenaan berperanan penting sebagai platform memperluas peluang perniagaan komuniti tempatan, termasuk melalui penerapan amalan perniagaan digital secara berperingkat selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

Katanya, keputusan kerajaan Sarawak membawa sambutan Gawai Dayak ke Miri tahun ini juga merupakan strategi memperluas penganjuran acara kebudayaan utama ke luar Kuching.

“Pendekatan ini memastikan pembangunan lebih inklusif dengan memberi peluang kepada wilayah lain menikmati manfaat ekonomi, pelancongan dan pembangunan menerusi acara berskala besar,” katanya.

Beliau berkata kejayaan festival itu turut didorong kerjasama erat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti tempatan yang berganding bahu menjayakannya, sejajar dengan semangat ‘Segulai Sejalai.

Program yang berlangsung bermula 1 hingga 24 Mei 2026, mengetengahkan persembahan dan pertandingan tradisional seperti pertandingan ngajat, batabuh, kuntau, sape’, tarian pajang orang ulu, karaoke lagu Dayak, pertunjukan secara langsung kugiran oleh bakat tempatan, ‘little miss & mister’ (memperagakan pakaian tradisional pelbagai kaum), gendang pampat, pertunjukan busana tradisional, pertandingan Kumang/Keligit/Dayung Sangon dan Keling-Belawan Peringkat Sarawak.

Oleh Liong Chai Ling

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Projek sistem air akut Rantau Panjang capai 33 peratus, siap ikut jadual
Next: SCCS anjur ‘Move For Gold 2026’ sempena ulang tahun ke-25

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.