
WASHINGTON: Bilionair teknologi, Elon Musk dijangka menamatkan saman oleh Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Amerika Syarikat (SEC) berhubung pembelian sahamnya semasa pengambilalihan Twitter dengan bayaran AS$1.5 juta, lapor agensi berita Jerman dpa.
Musk dan SEC bersetuju dengan jumlah itu dalam penyelesaian yang didedahkan pada Isnin dan akan dikemukakan kepada hakim yang ditugaskan untuk kelulusan. Penalti itu hanya sebahagian kecil daripada AS$150 juta yang didakwa SEC berjaya dijimatkan oleh Musk akibat melanggar peraturan pendedahan.
Dalam saman yang difailkan pada awal 2025, SEC menuduh Musk gagal mendedahkan tepat pada masanya bahawa pegangan sahamnya dalam Twitter telah melepasi ambang 5 peratus ketika beliau membeli saham dalam platform dalam talian itu pada 2022. Perkara itu membolehkannya membeli lebih banyak saham pada harga lebih rendah, menurut pengawal selia itu.
SEC menganalisis pembelian saham oleh Musk dan menyimpulkan bahawa kelewatan pendedahan mandatori itu menjimatkannya lebih daripada AS$150 juta. Pemegang saham yang menjual saham kepada beliau dalam tempoh itu mengalami kerugian kewangan, menurut SEC.
SEC pada awalnya berusaha memaksa Musk memulangkan jumlah tersebut serta membayar penalti tambahan. Menurut peguam Musk, agensi itu sebelum ini menuntut AS$200 juta dalam tawaran penyelesaian terdahulu.
Musk gagal pada Februari dalam usaha untuk membatalkan saman itu. Peguamnya berhujah bahawa SEC menguatkuasakan undang-undang secara terpilih dan bahawa saman itu melanggar hak kebebasan bersuara beliau. Bagaimanapun, Hakim Sparkle Sooknanan tidak melihat sebarang alasan untuk membatalkan kes tersebut.
Bilionair teknologi itu mula membeli saham Twitter di pasaran pada awal 2022. Dalam samannya, SEC menyatakan pegangan Musk mencapai 5 peratus pada 14 Mac 2022.
Mengikut peraturan AS, Musk sepatutnya mendedahkan perkara itu dalam tempoh 10 hari kalendar. Namun beliau hanya membuat pendedahan pada 4 April, lewat 11 hari bahawa beliau telah memiliki 9 peratus saham. Harga saham Twitter kemudian melonjak sebanyak 27 peratus, menurut SEC.
Musk membelanjakan sekitar AS$44 bilion untuk membeli Twitter, yang dimuktamadkan pada Oktober 2022. Beliau menjual saham dalam Tesla, syarikat pembuat kereta elektrik yang diterajuinya, untuk membiayai sebahagian besar urus niaga itu. Musk juga membuat pinjaman sekitar AS$12 bilion. – Bernama