
SIMANGGANG: Kejayaan menemukan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang dilaporkan hilang sejak 28 April lalu dalam keadaan selamat membuktikan kekuatan semangat kebersamaan dan solidariti masyarakat di Sri Aman.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh pihak pengurusan Rumah Kanak-Kanak Datuk Ajibah Abol Sri Aman (RKKDAASA), mangsa, Law Ching Sing berjaya ditemui sekitar 1.30 pagi semalam di kawasan Kampung Muhibbah hasil maklumat awam serta gerakan pencarian intensif yang memasuki hari kelima.
Penemuan tersebut merupakan hasil kerjasama erat antara pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, pasukan keselamatan, penduduk setempat serta kakitangan institusi yang terlibat secara langsung dalam operasi pencarian.
Sehubungan itu, pihak RKKDAASA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah mengorbankan masa dan tenaga bagi memastikan mangsa ditemui dengan selamat.
Penghargaan turut diberikan kepada kepimpinan komuniti seperti Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), pihak sekolah serta individu-individu yang tampil membantu sepanjang operasi berlangsung.
Menurut kenyataan itu, keprihatinan dan solidariti yang dizahirkan oleh seluruh warga Sri Aman amatlah dihargai dan menjadi bukti jelas keutuhan semangat komuniti dalam menghadapi situasi kecemasan.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Sri Aman, Superintenden Dennis Bunyam mengesahkan mangsa ditemui dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan.
Beliau berkata, kehilangan mangsa disedari selepas kanak-kanak tersebut dipercayai melarikan diri dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Aman sekitar 8.40 pagi, 28 April lalu sebelum laporan polis dibuat bagi memulakan operasi pengesanan.
Sejurus selepas ditemui, mangsa telah dibawa menjalani pemeriksaan mengikut prosedur yang ditetapkan, selain akan diberikan sokongan kaunseling serta penilaian dalaman oleh pihak institusi.
Dengan penemuan tersebut, operasi pencarian kini ditamatkan secara rasmi, sekali gus menutup episod penuh debaran yang menyatukan seluruh komuniti Sri Aman dalam satu misi kemanusiaan.
Oleh Adi Safarman