
MIRI: Sebuah lori 1.5 tan musnah di bahagian hadapan selepas terbakar dalam kejadian di Jalan Jee Foh Utama 5, di sini, hari ini.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sarawak, panggilan kecemasan diterima pada 11.05 pagi sebelum anggota dari BBP Miri Sentral digerakkan ke lokasi.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati kebakaran melibatkan sebuah lori yang terbakar 100 peratus di bahagian hadapan.
“Seorang pekerja telah melakukan tindakan pemadaman awal menggunakan alat pemadam api sebelum ketibaan bomba.
“Pasukan kemudian menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula sehingga api berjaya dipadam sepenuhnya,” katanya.
Kebakaran tidak melibatkan sebarang mangsa dan operasi berjaya dikawal pada 11.17 pagi sebelum tamat sepenuhnya pada 11.32 pagi.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Oleh Liong Chai Ling