
JAKARTA: Pengawal selia minyak dan gas huluan Indonesia, SKK Migas mengenal pasti 13 prospek telaga minyak dan gas di Kalimantan Timur dengan anggaran rizab minyak mencecah hampir satu juta tong dan potensi gas sebanyak 11.64 bilion kaki padu.
Ketua SKK Migas Djoko Siswanto berkata telaga berkenaan terletak di kawasan transmigrasi Samboja di Kabupaten Kutai Kartanegara dan akan dibangunkan oleh Pertamina Hulu Sanga Sanga (PHSS), anak syarikat syarikat minyak milik kerajaan, Pertamina.
“Ini sangat strategik memandangkan minyak dan gas kekal kritikal untuk keperluan domestik, dan mencari rizab baharu di tempat lain bukanlah mudah serta sering melibatkan kos yang tinggi,” katanya menurut Agensi Berita Antara hari ini.
Djoko berkata satu daripada telaga itu dijangka menghasilkan sehingga 7.3 juta kaki padu gas sehari dengan anggaran rizab sebanyak 3.6 bilion kaki padu.
Beliau berkata berdasarkan andaian harga gas sebanyak AS$7.7 bagi setiap MMBTU atau unit tenaga daripada gas asli bagi tempoh 2026-2031, serta kadar tukaran Rp17,000 bagi setiap dolar Amerika Syarikat (AS), rizab berkenaan dianggarkan bernilai Rp471 bilion (AS$29 juta).
Beliau berkata hasil kasar daripada pembangunan itu dianggarkan sekitar Rp355 bilion dengan hasil kerajaan diunjurkan sekitar Rp87 bilion selepas cukai.
Katanya, aktiviti penggerudian dijangka bermula bulan depan, sambil menambah bahawa PHSS kini menguruskan 79 telaga di kawasan transmigrasi Samboja. – Bernama