
MOSCOW: Lapan orang maut dalam kejadian runtuhan di sebuah lombong arang batu di Magadan, Timur Jauh Rusia, menurut satu kenyataan rasmi hari ini, lapor Anadolu Ajansi.
Kementerian Situasi Kecemasan Rusia dalam satu kenyataan memaklumkan operasi mencari dan menyelamat telah dijalankan dan mayat kesemua mangsa berjaya dikeluarkan.
“Hari ini, di lokasi runtuhan batu di daerah Susumansky, mayat empat lagi pekerja perusahaan arang batu telah ditemukan. Secara keseluruhan, pasukan penyelamat lombong telah mengeluarkan mayat lapan orang dari bawah runtuhan,” menurut kenyataan itu.
Menurut kementerian itu, fasa aktif operasi menyelamat lombong kini selesai dan tiada lagi mangsa di bawah runtuhan. – Bernama