

MIRI: Sebanyak 85 kilogram jaring hantu berjaya dikeluarkan dari perairan Taman Negara Terumbu Karang Miri-Sibuti menerusi Operasi Pembersihan Jaring Hantu yang berlangsung hari ini.
Program anjuran Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) dengan kelulusan kawal selia Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) itu melibatkan penyertaan 10 penyelam, termasuk dua penyelam bertauliah daripada SFC, bagi memastikan operasi dijalankan mengikut prosedur keselamatan serta pematuhan ketat di kawasan perlindungan sepenuhnya.
Majlis pelepasan operasi disempurnakan oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri, Adam Yii Siew Sang, yang turut menyatakan sokongan terhadap usaha pemuliharaan marin berterusan di perairan Miri.
Menurut hantaran SFC di Facebook, operasi tersebut merupakan kesinambungan komitmen NSJA dalam usaha melindungi ekosistem marin daripada ancaman jaring hantu yang boleh merosakkan terumbu karang serta mengancam hidupan laut.
“Sehingga kini, hampir 400 kilogram jaring hantu telah berjaya dikeluarkan melalui siri operasi pemuliharaan yang dijalankan, sekali gus membuktikan kesungguhan pelbagai pihak dalam memelihara khazanah laut Sarawak,” menurut kenyataan itu.
SFC menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh perlindungan ekosistem marin negeri ini melalui pemantauan berterusan, tadbir urus yang ketat serta sokongan terhadap inisiatif pemuliharaan yang bertanggungjawab.
Usaha bersepadu seperti ini dilihat penting bagi memastikan kawasan terumbu karang Miri-Sibuti terus terpelihara sebagai antara aset biodiversiti marin utama Sarawak.
Oleh Liong Chai Ling