

BETONG: Orang ramai yang merancang menggunakan laluan Lebuh Raya Pan Borneo di sektor Betong-Sarikei Kilometer 39 dinasihatkan agar mengambil maklum mengenai penutupan jalan sementara yang akan dilaksanakan pada 10 Mei ini.
Ketua Polis Daerah Betong, Wan Mohamad Ali Wan Malek, dalam satu kenyataan hari ini berkata penutupan tersebut melibatkan salah satu sektor laluan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja teknikal dan penyelenggaraan di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, penutupan itu dijadualkan bermula pada 10.00 pagi dan dijangka berlangsung antara 45 minit hingga satu jam bergantung kepada kelancaran kerja di tapak.
Katanya, sepanjang tempoh tersebut, aliran trafik akan dihentikan secara berperingkat bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta petugas yang terlibat.

“Langkah ini diambil sebagai langkah pencegahan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini sepanjang kerja penyelenggaraan dijalankan,” katanya.
Sehubungan itu, pengguna jalan raya dinasihatkan agar merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan sebarang kelewatan terutama bagi mereka yang melalui laluan berkenaan pada waktu yang ditetapkan.
Dalam masa sama, orang ramai juga diminta mematuhi segala arahan anggota polis yang bertugas serta papan tanda amaran yang dipasang di lokasi penutupan.
Beliau turut menyeru pengguna agar bersabar dan sentiasa berhati-hati sepanjang tempoh penutupan singkat itu demi keselamatan semua pihak.
Tambahnya, pihak polis menghargai kerjasama orang ramai dan memohon maaf atas sebarang kesulitan yang mungkin timbul akibat pelaksanaan penutupan sementara tersebut.
Oleh Adi Safarman