Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Penipuan guna panggilan WhatsApp semakin canggih, orang ramai diingatkan berwaspada
  • Selatan
  • WILAYAH

Penipuan guna panggilan WhatsApp semakin canggih, orang ramai diingatkan berwaspada

Utusan Sarawak 14 hours ago
MICHAEL Kong bercakap dengan mangsa penipuan.

KUCHING: Satu kes disyaki penipuan melalui panggilan WhatsApp baru-baru ini menimbulkan kebimbangan mengenai taktik penipuan yang semakin canggih, kata Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen, Michael Kong Feng Nian.

Menurut Kong, kejadian bermula apabila seorang wanita dikenali sebagai Madam Chan menemui iklan di Facebook yang mempromosikan makanan masakan rumah sebelum menghubungi penjual berkenaan melalui panggilan WhatsApp.

“Dalam panggilan tersebut, individu itu berkeras mahu menghantar menu, namun mangsa menolak kerana sudah mempunyai pilihan. Apabila pemanggil terus mendesak, mangsa menamatkan panggilan kerana berasa tidak selesa,” katanya.

Beliau berkata, dalam tempoh beberapa minit selepas panggilan itu, telefon mangsa mula menunjukkan tingkah laku luar biasa sebelum ahli keluarga memaklumkan bahawa beberapa kenalan menerima mesej daripada nombornya yang meminta wang.

Bimbang dengan keadaan itu, mangsa segera menghubungi pihak bank dan mendapati terdapat tiga transaksi tidak sah daripada akaun simpanan serta satu transaksi daripada akaun kad kreditnya.

“Walaupun laporan pertikaian dibuat kepada bank, tuntutan mangsa ditolak atas alasan ID pengguna dan kata laluan digunakan untuk mengakses akaun, selain kemungkinan peranti telah dikompromi akibat perisian hasad,” katanya.

Kong menyifatkan penjelasan tersebut sebagai tidak memuaskan.

“Mangsa menegaskan tidak memuat turun sebarang aplikasi atau menekan pautan. Satu-satunya interaksi hanyalah panggilan WhatsApp dengan individu berkenaan. Ini menimbulkan kebimbangan serius terhadap taktik penipuan yang semakin berkembang,” katanya.

Menurutnya, kes itu menunjukkan kemungkinan penipu mengeksploitasi kelemahan melalui interaksi yang kelihatan tidak berbahaya seperti panggilan telefon atau penglibatan di media sosial.

“Ini menggambarkan gelombang baharu penipuan apabila penjenayah siber semakin canggih dan berpotensi mendapatkan akses kepada peranti tanpa pengetahuan mangsa,” katanya.

Beliau berkata pihaknya kini membantu mangsa membuat rayuan kepada Perkhidmatan Ombudsman Pasaran Kewangan bagi mencabar keputusan bank dan mendapatkan penyelesaian yang adil.

Sehubungan itu, Kong menggesa orang ramai supaya lebih berhati-hati apabila berurusan dengan iklan di platform media sosial seperti Facebook.

“Tawaran yang kelihatan sah seperti jualan makanan atau perkhidmatan juga boleh menjadi pintu masuk kepada penipuan. Penipu sentiasa mengubah taktik dan kaedah lama tidak lagi mencukupi untuk mengenal pasti ancaman,” katanya.

Beliau turut menggesa institusi kewangan supaya memainkan peranan lebih bertanggungjawab dalam menangani kes seumpama itu.

“Institusi kewangan perlu memastikan tahap akauntabiliti yang lebih tinggi, terutama apabila terdapat petunjuk bahawa mangsa tidak cuai dalam aspek keselamatan,” katanya.

Oleh Connie Chieng

Continue Reading

Previous: Perpaduan kunci kelangsungan komuniti Cina di Bintulu
Next: Miri perkukuh pemuliharaan marin menerusi operasi pembersihan pukat hantu

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.