
MIRI: Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) terus memperkukuh komitmen dalam usaha pemuliharaan marin apabila berjaya mengumpul hampir 500 kilogram jarring hantu menerusi operasi pembersihan berterusan di Taman Negara Terumbu Karang Miri-Sibuti sejak 2019.
Presidennya, Chai Chon Chin berkata, sebanyak 497 kilogram jaring hantu berjaya dikeluarkan setakat ini hasil beberapa siri operasi yang dijalankan bersama pelbagai pihak berkepentingan.
Menurut beliau, usaha berkenaan bukan sahaja tertumpu kepada pembersihan dasar laut, malah turut melibatkan program kesedaran awam berkaitan kepentingan pemeliharaan ekosistem terumbu karang.
“Sejak operasi pertama pada 5 Mei 2019, NSJA konsisten meneruskan inisiatif ini walaupun berdepan cabaran termasuk gangguan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Pada 2025, kami kembali aktif dengan semangat baharu termasuk pemasangan mooring line bagi membantu aktiviti penyelaman lestari tanpa merosakkan terumbu karang,” katanya dalam ucapan alu-aluan sempena Operasi Pembersihan Jaring Hantu Lindungi Terumbu Miri.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri, Adam Yii.
Beliau berkata, sebagai antara persatuan media yang aktif dalam usaha penghapusan jaring hantu di Malaysia, NSJA turut memainkan peranan penting melalui platform media bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap ancaman pencemaran laut.
Katanya, sokongan padu daripada wakil rakyat, Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), pusat selaman, sukarelawan dan agensi berkaitan menjadi faktor utama kejayaan program berkenaan.
“Pemuliharaan laut adalah tanggungjawab berterusan.
“Setiap jaring hantu yang dibuang berpotensi menyelamatkan hidupan marin, manakala setiap program kesedaran membawa kita lebih dekat kepada masa depan yang mampan,” ujarnya.
Oleh Liong Chai Ling