
BINTULU: Sebuah bot tunda ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Bintulu selepas gagal mengemukakan dokumen stabiliti semasa pemeriksaan di perairan Kuala Kemena, sekitar satu batu nautika barat laut, baru-baru ini.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, penahanan dilakukan sekitar 10.05 pagi menerusi Op Tiris 4.0 dan Op Permai 01/2019 hasil rondaan penguatkuasaan di kawasan berkenaan.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati bot tunda terbabit disyaki melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana tidak mempunyai dokumen stabiliti semasa pemeriksaan dijalankan.

“Vesel itu dikendalikan enam kru terdiri daripada tiga warga Myanmar termasuk nakhoda, seorang warga Malaysia dan dua warga India berusia antara 24 hingga 60 tahun,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut memaklumkan bahawa kesemua kru bersama vesel telah ditahan dan diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, tindakan tersebut mencerminkan komitmen berterusan Maritim Malaysia dalam memperkukuh penguatkuasaan undang-undang maritim, khususnya dalam membanteras pelanggaran peraturan yang boleh menjejaskan keselamatan perairan negara.
Sehubungan itu, komuniti maritim diingatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang serta prosedur keselamatan ketika beroperasi di laut bagi mengelakkan sebarang risiko dan tindakan undang-undang.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah atau kecemasan di laut boleh menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Bintulu di talian 086-314254 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 untuk tindakan segera,” ujarnya.
Oleh Carolyne Utih