Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • TVET MyKomoditi pacu pembangunan bakat komoditi negara
  • SEMASA

TVET MyKomoditi pacu pembangunan bakat komoditi negara

Utusan Sarawak 17 hours ago
DATO Sri Dr. Noraini Ahmad berucap pada Program TVET MyKomoditi 2026 di Dewan Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak, Kota Samarahan.

KOTA SAMARAHAN: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) memperkukuh usaha membangunkan ‘Bakat Komoditi’ sebagai pemacu masa depan negara menerusi Program TVET MyKomoditi yang berorientasikan pembangunan tenaga kerja mahir.

Menurut Menterinya, Dato Sri Dr. Noraini Ahmad, program itu bukan sekadar platform pendedahan, malah menjadi inisiatif strategik untuk mencetus aspirasi serta keyakinan generasi muda terhadap potensi kerjaya dalam sektor agrikomoditi.

“Sektor agrikomoditi kini tidak lagi bersifat tradisional, sebaliknya sedang melalui transformasi pesat ke arah penggunaan agroteknologi, automasi dan pendigitalan.

“Pada 2025, sektor ini mencatatkan nilai eksport mencecah RM196.72 bilion, sekali gus membuktikan peranannya sebagai antara penyumbang utama ekonomi negara.

SIMBOLIK perasmian Program TVET MyKomoditi 2026 di Dewan Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak, Kota Samarahan.

“Kita memerlukan tenaga kerja tempatan berkemahiran tinggi untuk memastikan kelestarian sektor ini terus dipacu ke tahap lebih cemerlang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program TVET MyKomoditi 2026 di Dewan Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak, hari ini.

Tambah beliau, TVET kini menjadi jambatan penting yang menghubungkan ekosistem pendidikan dengan keperluan sebenar industri, sekali gus membuka laluan kerjaya yang lebih stabil dan kompetitif kepada golongan belia.

“TVET bukan lagi pilihan alternatif, tetapi laluan perdana yang menawarkan prospek masa depan cerah serta pendapatan kompetitif.

“Melalui kerjasama strategik bersama institusi seperti Sarawak Skills, Sabah Skills & Technology Centre serta Kolej RISDA, kita memperkukuh ekosistem pembangunan bakat sektor agrikomoditi,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan seramai kira-kira 300 perantis akan dilatih dalam bidang pengkhususan teknikal seperti pakar penuaian dan pakar mesin menerusi kerjasama dengan pemain industri utama termasuk SD Guthrie, SALCRA Berhad, Genting Plantations dan TH Plantations.

SESI pertukaran MoA IMPAC bersama pemegang taruh disaksikan oleh Dato Sri Dr. Noraini Ahmad di Dewan Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak, Kota Samarahan.

Mengulas lanjut, beliau berkata pendekatan TVET berpacukan industri adalah kunci kepada kelestarian sektor, sejajar dengan aspirasi Dasar TVET Negara 2030 yang meletakkan industri sebagai rakan strategik utama dalam pembangunan bakat.

Dalam perkembangan berkaitan, sebanyak lima dokumen kerjasama (MoA) telah dimeterai menerusi kerjasama tiga pihak (tripartite).

MoA antara Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC) sebagai institusi latihan induk KPK, institusi TVET iaitu Sarawak Skills, Kolej RISDA dan Sabah Skills & Technology Centre, serta syarikat perladangan termasuk SALCRA, SD Guthrie, TH Plantations Berhad, Genting Plantations dan Sawit Kinabalu.

Oleh Masrin Affirah

Continue Reading

Previous: Sarawak pacu ekosistem AI, cip dan satelit, sasar pelancaran satelit nano 2030
Next: Sarawak fokus ‘kuasa otak’, perkukuh jaringan global

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.