
BINTANGOR: Kerja pemuliharaan Sungai Padi di Jalan Sing Tung Kwong dan Sungai Kelupu–Yi Jun di Batu 6.5 disahkan siap dilaksanakan.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii, berkata ia sekali gus meningkatkan kelancaran aliran air di kawasan tersebut dan mengurangkan risiko limpahan sungai yang boleh menjejaskan penduduk setempat.
“Pelaksanaan projek pemuliharaan sungai merupakan antara langkah berterusan kerajaan dalam memperkukuh sistem perparitan di kawasan luar bandar.
“Ia amat penting bagi memastikan aliran air lebih lancar selain mengurangkan risiko hakisan tebing dan kejadian banjir yang boleh menjejaskan keselamatan penduduk setempat,” katanya ketika dihubungi.
Tiong Sii yang juga Ahli Parlimen Sarikei berkata, lawatan pemeriksaan dan pengesahan siap kerja projek tersebut telah dilaksanakan oleh wakil beliau dari Pusat Khidmat Parlimen Sarikei, Wong Soon Mee bersama Penolong Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarikei, baru-baru ini.
Tambahnya, projek pemuliharaan di Sungai Padi melibatkan kawasan Jalan Sing Tung Kwong manakala projek di Sungai Kelupu–Yi Jun melibatkan kawasan Batu 6.5 yang dikenal pasti memerlukan penambahbaikan sistem aliran air.
“Sebagai wakil rakyat di Parlimen Sarikei, saya akan sentiasa memastikan setiap projek kerajaan membawa manfaat kepada penduduk setempat.
“Kerajaan akan terus melaksanakan projek pemuliharaan sungai secara berperingkat selaras dengan keperluan semasa masyarakat luar bandar di kawasan Parlimen Sarikei,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok
Oleh Earl Anek