
MUKAH: Penganjuran Pesta Kaul terus kekal sebagai simbol perpaduan rakyat berbilang kaum di Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kepelbagaian kaum, budaya dan agama menjadi asas kekuatan dalam menyatupadukan masyarakat di negeri ini.
“Walaupun di Sarawak, kita mempunyai berbagai kaum, keturunan, agama, budaya dan latar belakang berbeza-beza, kita bersyukur di dalam keperbagaian ini.
“Kita bersatu berkerjasama antara satu dengan yang lain keperbagaian bukan menjadi masalah sebaliknya, malahan ia menjadi satu kekuatan” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kaul Mukah dan Keman Kaul 2026 di Pentas Utama Tapak Kaul, Pantai Kala Dana, Mukah, hari ini.
Awang Tengah berkata, penganjuran Pesta Kaul bukan sahaja menampilkan warisan tradisi masyarakat Melanau, malah turut disertai pelbagai kaum lain di Sarawak.
“Dengan konsep pertembungan sungai-sungai “confluence of rivers” yang pernah dihuraikan Premier Sarawak turut menggambarkan realiti kehidupan masyarakat negeri ini yang bersatu walaupun datang daripada pelbagai latar belakang.
“Justeru itu, pesta seperti Kaul amat penting dalam memperkukuh semangat perpaduan selain memastikan warisan budaya terus diwarisi oleh generasi muda,” ujarnya.
Pada majlis tersebut, Awang Tengah turut menyalurkan sumbangan berjumlah RM50,000 kepada Persatuan Melanau Mukah bagi pelaksanaan aktiviti.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pesta Kaul 2026, Abdul Yakub Arbi dan ADUN, Tellian Royston Valentine.
Oleh Akun Giman