
MUKAH: Mukah mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai hab pembangunan ekonomi digital, inovasi dan pembangunan bakat di zon tengah Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, potensi tersebut turut merangkumi pembangunan ekonomi dalam sektor pertanian moden, akuakultur, ekonomi biru serta tenaga boleh diperbaharui.
Menurutnya, perkembangan itu disokong oleh kewujudan pelbagai institusi pendidikan dan latihan kemahiran di bahagian berkenaan, selain jaringan infrastruktur yang semakin lengkap.
“Mukah mempunyai institusi pendidikan untuk meningkatkan kemahiran seperti CENTEXS, kampus cawangan UiTM dan sekolah vokasional.
“Ini membolehkan Mukah dibangunkan sebagai sebahagian daripada kawasan Central Park Sarawak, khususnya sebagai hab pembangunan digital, inovasi serta pembangunan bakat dan sumber manusia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kaul Mukah dan Keman Kaul 2026 di Pentas Utama Tapak Kaul, Pantai Kala Dana, hari ini.
Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, sebanyak 48 projek pembangunan dilaksanakan di seluruh Bahagian Mukah melibatkan pelaburan melebihi RM4 bilion oleh kerajaan Sarawak.
Pembangunan itu merangkumi projek jalan raya, jambatan serta kemudahan asas lain yang bakal merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat.
Awang Tengah berkata, pembangunan berterusan di Mukah akan membuka lebih banyak peluang pelaburan dalam pelbagai sektor.
“Ini termasuk maritim dan industri berasaskan sumber laut yang akan menjadi antara hab pertumbuhan ekonomi penting Sarawak pada masa depan,” ujarnya.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pesta Kaul 2026, Abdul Yakub Arbi dan ADUN, Tellian Royston Valentine.
Oleh Akun Giman