Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • Cabaran bahasa tidak halang Maryam Duriankimchi tampil dengan Hidayah
  • HIBURAN

Cabaran bahasa tidak halang Maryam Duriankimchi tampil dengan Hidayah

Utusan Sarawak 9 hours ago
MARYAM You Narae hadir sebagai tetamu program ShowBuzz di Bernama Radio baru-barui ini, bagi berkongsi cerita di sebalik single terbaharunya berjudul Hidayah. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Meskipun telah lebih enam tahun menetap di Malaysia, pempengaruh media sosial dari Korea Selatan, Maryam Duriankimchi mengakui penguasaan bahasa Melayu masih menjadi cabaran buat dirinya.

Namun, kekangan itu tidak menghalang Maryam atau nama sebenarnya Maryam You Narae, 34, untuk membuktikan kesungguhannya apabila tampil dengan lagu sulung berjudul Hidayah, yang dilancarkan pada akhir Mac lepas.

Lagu berkenaan merupakan hasil ciptaan komposer Zuhaidi Aziz yang juga anggota kumpulan nasyid Saujana.

Beliau berkata proses menyiapkan lagu itu bukan sesuatu yang mudah apabila mengambil masa kira-kira enam bulan bagi memastikan setiap patah perkataan disebut dengan tepat tanpa aksen.

Kongsi ibu kepada Rina dan Rian itu, beliau tidak kisah dengan tempoh agak panjang tersebut kerana lagu berkenaan begitu dekat dengan dirinya sebagai seorang mualaf, selain mencerminkan perjalanan spiritual yang dilalui.

MARYAM berbual mesra mengenai perjalanan seni, inspirasi penghasilan lagu serta perancangan terkininya dalam industri hiburan tempatan. Foto BERNAMA

“Walaupun susah, saya tak pernah fikir untuk mengalah, malah saya teruskan berlatih lagi dan lagi di rumah sehinggakan Rina pun hafal lagu ini. Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya untuk ‘pronounce’ (menyebut)  dengan betul tanpa ada sebutan pelik.

“Biasanya, dalam perbualan harian saya guna bahasa Melayu. Jadi, dari situ saya perbaiki sebutan dan belajar bahasa Melayu serta perkataan baharu. Saya hanya terus berlatih, itu sahaja jalan saya,” katanya ketika ditemui selepas prgram Show Buzz terbitan Bernama Radio di sini.

Di sebalik cabaran teknikal itu, Maryam menjelaskan Hidayah membawa makna lebih mendalam kerana beliau mengharapkan mesej dalam lagu tersebut dapat memberi kekuatan emosi kepada pendengar, khususnya mereka yang berdepan tekanan hidup.

“Saya putuskan untuk nyanyi lagu ini sebab lirik ini sangat menunjukkan diri saya. Lagi-lagi saya mualaf, mestilah saya dapat hidayah. Hidayah bukan hanya ketika kita ‘convert’, tetapi sepanjang hidup kita perlukan hidayah.

“Dalam hati, kalau kita rasa jauh daripada Allah, kita perlukan hidayah. Bila berdepan kesusahan, kita juga perlukan hidayah. Jadi bagi saya, lagu ini bukan hanya untuk diri saya, tetapi untuk semua yang sedang mencari kekuatan,” katanya.

Pada masa sama, Maryam turut berkongsi detik peribadi apabila ibunya memeluk Islam sekitar November tahun lepas selepas melihat perubahan positif dalam dirinya.

Menurutnya, beliau tidak pernah memaksa atau mengajak secara langsung, sebaliknya hanya menunjukkan melalui cara hidup dan kebahagiaan yang dirasai selepas memeluk agama Islam.

“Saya cuma tunjuk bagaimana kehidupan saya berubah, bagaimana saya rasa lebih tenang dan bersyukur. Dari situ, ibu mula belajar sendiri perlahan-lahan, sampai akhirnya dia buat keputusan untuk memeluk Islam,” katanya.

Lebih mengharukan, Maryam berkata perubahan paling ketara dilihat adalah dari segi emosi dan cara ibunya melihat kehidupan, yang kini lebih positif serta lebih menghargai perkara kecil.

“Dulu ibu agak negatif dan pernah mengalami kemurungan, tetapi sekarang saya nampak dia lebih tenang, lebih bersyukur… perkara kecil pun dia boleh rasa gembira,” katanya. – Bernama

Tags: Hiburan

Continue Reading

Previous: Shakira bakal tampil konsert mega di pantai Copacabana
Next: Syamel kembali single baharu Pertama ciptaan Edry Abdul Halim

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.