Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • Shakira bakal tampil konsert mega di pantai Copacabana
  • HIBURAN

Shakira bakal tampil konsert mega di pantai Copacabana

Utusan Sarawak 12 hours ago
SHAKIRA, membuat persembahan di atas pentas pada sesi latihan di pantai Copacabana di Rio de Janeiro pada 1 Mei 2026. Penyanyi tersebut dijadualkan mengadakan persembahan pada 2 Mei. Foto AFP

RIO DE JANEIRO: Ratu pop Latin, Shakira, bakal menghangatkan Rio de Janeiro esok (waktu Malaysia) menerusi konsert terbesar dalam kerjayanya setakat ini, iaitu sebuah acara terbuka di pantai Copacabana.

Konsert percuma oleh bintang Colombia berusia 49 tahun itu dijangka menarik kehadiran kira-kira dua juta penonton, sekali gus menjadikan bandar berkenaan sebagai pusat pop Latin bagi tempoh satu malam.

Pada 2024, Madonna membuat persembahan di hadapan 1.6 juta penonton, manakala tahun lalu, Lady Gaga mempersembahkan lagu-lagu popularnya kepada kira-kira 2.1 juta pengunjung dalam acara yang kini menjadi tradisi tahunan.

Shakira dijadualkan naik ke pentas antara 8.45 pagi hingga 11.00 pagi Ahad (waktu Malaysia (UTC+8) sebagai sebahagian daripada jelajah dunianya.

PEMANDANGAN dari udara menunjukkan kerja pemasangan pentas bagi konsert penyanyi Colombia, Shakira, di pantai Copacabana di Rio de Janeiro pada 30 April 2026. Foto AFP

Meraih jualan melebihi 90 juta unit rakaman, empat Anugerah Grammy, 15 Anugerah Grammy Latin serta himpunan lagu popular merentas generasi seperti Hips Don’t Lie, Waka Waka dan Whenever, Wherever, beliau menikmati tahap populariti yang tinggi di Brazil.

“Beliau mewujudkan hubungan antara Brazil dengan negara Amerika Latin yang lain,” kata Presiden Kelab Peminat Shakira di Brazil, Jouzeffer Fernandes Pereira, kepada AFP.

“Sekiranya planet Bumi mempunyai sebuah altar yang mampu ‘berbicara’, maka altar tersebut ialah Copacabana,” tulis Shakira, yang fasih berbahasa Portugis, dalam surat terbuka yang disiarkan oleh akhbar harian O Globo.

Bandar Rio telah bersedia sepenuhnya untuk menyambut kehadiran bintang tersebut, manakala para peminat menamakan lokasi konsert itu sebagai Lobacabana, bersempena lagu She Wolf (Loba dalam bahasa Sepanyol).

“Bandar ini seolah-olah ‘bernafas’ dengan kehadiran Shakira,” kata seorang peminat lama dari Brazil, Levi Tavares.

Rakaman video orang ramai yang mempelajari langkah tarian lagu Waka Waka, iaitu lagu rasmi FIFA World Cup 2010 di pantai Copacabana, baru-baru ini tular di media sosial.

Pihak berkuasa telah mengerahkan hampir 8,000 anggota keselamatan, dron, kamera pengecaman wajah serta 18 pusat pemeriksaan yang dilengkapi pengesan logam dalam operasi keselamatan terbesar yang pernah dilaksanakan bagi konsert mega di Copacabana.

Semasa persembahan Lady Gaga pada 2025, pihak polis berjaya menggagalkan satu percubaan serangan bom dalam kalangan penonton.

Konsert Shakira yang dinanti-nantikan ini dijangka menyumbang lebih 800 juta real (kira-kira AS$160 juta) kepada ekonomi tempatan, menurut pihak berkuasa bandar Rio.

Agensi pelancongan Brazil turut merekodkan peningkatan sebanyak 80 peratus dalam tempahan penerbangan pada minggu ini berbanding tempoh yang sama pada 2024.

Kebanyakan pelawat adalah dari negara di benua Amerika, termasuk Argentina, Amerika Syarikat, Uruguay, Chile dan Colombia. – AFP

Tags: Hiburan

Continue Reading

Previous: Lufthansa cari trofi Oscar hilang di Jerman
Next: Cabaran bahasa tidak halang Maryam Duriankimchi tampil dengan Hidayah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.