
ISTANBUL: Dua pekerja bank maut ditembak seorang penyerang bertopeng di negeri Kentucky, Amerika Syarikat (AS) semalam, lapor Anadolu Ajansi.
Polis Negeri Kentucky berkata suspek memasuki cawangan US Bank di Chestnut Street, Berea pada Khamis, lalu menembak mati dua pekerja sebelum melarikan diri dari lokasi kejadian.
“Kami memahami penduduk Berea dan Madison County. Mereka takut ketika ini dan kami juga bimbang terhadap keselamatan mereka.
“Kami mahu melakukan yang terbaik untuk menjejaki individu ini dan membawanya ke muka pengadilan,” kata anggota Polis Negeri Kentucky, Scottie Pennington.
Pihak berkuasa berkata masih belum jelas sama ada suspek mencuri sesuatu atau bagaimana dia melarikan diri, sambil menggesa penduduk supaya terus berwaspada, mengunci pintu dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan.
“Kami tidak mahu kejadian ini menyebabkan lebih ramai mangsa.
“Kami berharap dia menyerah diri,” kata Pennington. – Bernama