
KUALA LUMPUR: Seniwati Datuk Seri Maria Abdullah atau lebih dikenali sebagai Maria Menado meninggal dunia akibat sakit tua pada usia 94 tahun di sebuah hospital di Damansara hari ini.
Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Hafiz Nafiah dalam satu kenyataan memberi tahu Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira 12.25 tengah hari dengan ditemani ahli keluarga terdekat.
Beliau berkata jenazah seniwati itu dijangka dibawa ke Masjid Umar Al-Khattab, Bukit Damansara pada 4.00 petang ini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara selepas solat Asar.
“Seniman merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham dan mendoakan agar rohnya dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya.
Maria Menado merupakan antara bintang filem Melayu terkenal sekitar 1950-an hingga awal 1960-an dan pernah membintangi lebih 20 buah filem.
Sepanjang kerjayanya, Allahyarham memenangi Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Pontianak pada Festival Filem Malaysia 1957 serta Pelakon Pembantu Terbaik bagi filem Penghidupan pada 1952.
Selain berlakon, Maria Menado turut terlibat dalam penerbitan filem. – Bernama