Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • BISNES
  • Bursa Malaysia diniagakan tidak menentu susulan ketegangan di Asia Barat dan harga minyak tinggi
  • BISNES

Bursa Malaysia diniagakan tidak menentu susulan ketegangan di Asia Barat dan harga minyak tinggi

Utusan Sarawak 6 hours ago

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia diniagakan tidak menentu pada awal dagangan dengan sentimen pelabur berhati-hati berikutan ketidaktentuan luaran, termasuk ketegangan di Asia Barat dan harga minyak yang tinggi selepas tindakan mengejut Emiriah Arab Bersatu (UAE) keluar daripada Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI menurun 1.92 mata atau 0.11 peratus kepada 1,718.50 daripada 1,720.42 pada Rabu.

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 0.19 mata kepada 1,720.23.

Pasaran secara menyeluruh negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 242 berbanding 175 manakala 326 kaunter tidak berubah, 1,929 tidak diniagakan dan 77 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 189.43 juta saham bernilai RM101.98 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata minyak mentah Brent meningkat kepada AS$118 setong selepas Presiden AS Donald Trump memberi isyarat mengenai persediaan untuk sekatan berpanjangan ke atas Iran, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap potensi gangguan kepada bekalan tenaga global.

“Pada peringkat domestik, walaupun FBM KLCI ditutup rendah semalam susulan aktiviti pengambilan untung selepas kenaikan baru-baru ini, penurunan itu mungkin membuka peluang untuk membeli saham mewah yang mempunyai asas kukuh pada penilaian yang lebih menarik.

“Melihat ke hadapan, sentimen dijangka kekal berhati-hati susulan harga minyak yang tinggi dan ketegangan geopolitik yang berterusan.

“Walaupun risiko penurunan mungkin dapat dikurangkan oleh pembelian terpilih, potensi kenaikan dijangka secara berperingkat jika tiada pemangkin positif yang lebih jelas,” katanya kepada Bernama.

Thong berkata indeks petunjuk pasaran dijangka diniagakan dalam julat 1,710 hingga 1,730 hari ini.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat empat sen kepada RM11.08 dan CIMB menambah satu sen kepada RM7.70. Public Bank merosot dua sen kepada RM4.73, Tenaga Nasional dan IHH Healthcare, masing-masing menurun 10 sen kepada RM14.50 dan RM8.71.

Dalam senarai paling aktif, Borneo Oil naik setengah sen kepada satu sen, GDB meningkat satu sen kepada 41 sen dan Hengyuan Refining menambah tiga sen kepada RM1.36 manakala MRCB dan Econpile, masing-masing berkurangan satu sen kepada 35.5 sen dan 15.5 sen.

Dalam kalangan kaunter paling untung, Nestle naik RM1.70 kepada RM104.60, Malaysian Pacific Industries meningkat 28 sen kepada RM38.28, LPI Capital menokok 20 sen kepada RM14.60, MBM Resources dan United Plantations, masing-masing menambah 12 sen kepada RM5.12 dan RM32.12.

Kaunter paling rugi ialah Paragon Union merosot 14 sen kepada RM4.70, Sunway Construction dan Manulife, masing-masing menurun sembilan sen kepada RM6.94 dan RM2.29, Keyfield berkurangan tujuh sen kepada RM1.66 dan Ajinomoto menyusut enam sen kepada RM12.42.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 14.13 mata kepada 12,729.07, Indeks FBM Top 100 berkurangan 12.59 mata kepada 12,599.03, Indeks FBM Emas Shariah jatuh 21.79 mata kepada 12,686.05, Indeks FBM Mid 70 menurun 12.03 mata kepada 18,186.06 dan Indeks FBM ACE menyusut 6.41 mata kepada 4,657.08.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga menambah 1.98 mata kepada 847.04, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 4.83 mata kepada 19,989.64, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menurun 0.04 mata kepada 195.09 dan Indeks Perladangan meningkat 10.79 mata kepada 8,828.58. – Bernama

Continue Reading

Previous: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS, bercampur-campur berbanding mata wang lain
Next: Dolar AS/ringgit dijangka diniagakan pada julat 3.95-4.05 dalam tempoh terdekat – Apex Securities

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.