
KUALA NERUS: Rombakan kecil pada kesebelasan utama terpaksa dilakukan susulan kecederaan dialami tiga tonggak utama Terengganu FC (TFC) menjelang aksi Liga Super menentang Kuching City FC di Stadium Negeri, Kuching malam esok.
Pemangku ketua jurulatih TFC Tengku Hazman Raja Hassan berkata pertahanan kental Muhammad Azam Azmi Murad, Kyaw Min Oo dan Gervane Kastaneer tidak dapat diturunkan selepas cedera ketika beraksi pada perlawanan menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) tempoh hari.
“Azam alami kecederaan lutut, Kyaw pula masalah buku lali dan penyerang Kastaneer pula alami kecederaan hamstring. Tak dapat dinafikan ketiadaan mereka sedikit sebanyak akan mengubah corak permainan kita malam esok.
“Tetapi saya dah pesan pada pemain supaya kekal fokus dan mengikut perancangan. Bertemu dengan lawan yang kuat..lebih-lebih lagi di tempat mereka, pemain perlu bijak menyerap tekanan dan memberi saingan supaya kita tidak tercicir mata,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Kompleks Sukan Gong Badak, petang semalam.
Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Hishamuddin Abdul Karim berharap mutu pengadilan dalam saingan Liga Super dapat ditingkatkan bagi mengelak sebarang kontroversi yang menjejaskan reputasi bolasepak negara.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu berkata insiden pembatalan gol TFC ketika perlawanan menentang NSFC tempoh hari bukan kali pertama berlaku, hingga menimbulkan pelbagai kritikan dan persoalan mengenai integriti serta kualiti pengadil di Liga Malaysia.
“Saya harap tiga perlawanan terakhir TFC dapat kutip mata penuh. Agak kecewa kerana kita berpeluang menang pada perlawanan lepas, tetapi terhalang akibat berlaku kelam-kabut dari segi mutu pengadilan.
“Sebenarnya, Terengganu dan terlepas beberapa kemenangan akibat pembatalan gol oleh pengadil…tempoh hari masih berlaku. Jadi saya harap pengadil dapat buat yang terbaik untuk tingkatkan mutu pengadilan secara lebih konsisten, supaya liga lebih seronok ditonton,” katanya.
Kuching City FC kini mendahului TFC di tempat ketiga liga dengan 44 mata daripada 21 perlawanan, manakala TFC di kedudukan kelima dengan 33 mata daripada 21 perlawanan. – Bernama