
SIMANGGANG: Seorang lelaki berusia 59 tahun dijatuhi hukuman penjara 16 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Seksyen di Sri Aman hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan berusia 13 tahun yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) pada Mac lalu.
Menurut kenyataan media Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah rumah panjang di kawasan Lubok Nibong, Ulu Awik, Saratok.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding di Mahkamah Sesyen Sri Aman, kes tersebut didengar di hadapan Hakim Intan Nurul Farena Zainal Abidin, di mana tertuduh memilih untuk mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama 16 tahun bermula dari tarikh tangkapan serta mengenakan tiga sebatan rotan terhadap tertuduh.
Tertuduh kini menjalani hukuman di Penjara Sri Aman seperti yang diperintahkan oleh mahkamah.
Pihak polis menegaskan bahawa siasatan dijalankan secara menyeluruh bagi memastikan keadilan terhadap mangsa, khususnya melibatkan golongan rentan seperti kanak-kanak dan OKU.
Orang ramai turut diingatkan agar sentiasa peka dan melaporkan sebarang kejadian jenayah seksual kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan segera diambil.
Oleh Adi Safarman