
MUKAH: Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia yang juga Ahli Parlimen Mukah Dato Hajah Hanifah Hajar Taib menghulurkan sumbangan berjumlah RM15,000 secara keseluruhan kepada keluarga mangsa kebakaran Kampung Bunut, Mukah, hari ini.
Hanifah menerusi kenyataan di media sosial Faceook milik beliau hari ini memberitahu, sumbangan tersebut adalah merangkumi wang tunai dan barangan keperluan asas.
Daripada jumlah tersebut, RM10,000 disalurkan kepada sebuah keluarga, manakala RM5,000 lagi diberikan kepada sebuah keluarga lain yang menetap di rumah sewa.
Dalam lawatan itu, beliau meluangkan masa meninjau sendiri keadaan bekas tapak kebakaran serta menyantuni kedua-dua keluarga yang terjejas.
Beliau berharap kedua-dua keluarga terus tabah menghadapi dugaan tersebut serta menyeru pelbagai pihak untuk tampil menghulurkan bantuan.
Dalam masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan dari segi tenaga, emosi dan kewangan kepada mangsa yang terlibat.
Kejadian tersebut mengakibatkan dua buah rumah musnah dan menyebabkan dua keluarga hilang tempat tinggal.
Oleh Akun Giman