
BINTULU: Tindakan pantas pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran melibatkan sebuah lori di kawasan Hua Wei Machinery, Kidurong, petang tadi, sekali gus mengelakkan kejadian daripada merebak dan menyebabkan kerosakan lebih besar.
Menurut laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5.19 petang. Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kidurong segera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira empat kilometer dari balai.
Jentera bomba dilaporkan tiba di lokasi pada 5.23 petang dan mendapati kebakaran melibatkan sebuah lori, dengan api marak membakar bahagian kepala kenderaan tersebut. Anggaran awal mendapati sekitar 80 peratus bahagian hadapan lori telah musnah dijilat api ketika pasukan tiba.


Pasukan operasi yang diketuai oleh PBK Abdullah Sedi bertindak pantas menjalankan kerja-kerja pemadaman menggunakan peralatan sedia ada bagi mengawal api daripada terus merebak, khususnya memandangkan lokasi kejadian berada di kawasan perindustrian yang berisiko tinggi.
Hasil kecekapan anggota bomba, kebakaran berjaya dikawal dalam tempoh singkat iaitu sekitar 5.30 petang sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 5.45 petang selepas memastikan keadaan benar-benar selamat dan tiada lagi punca nyalaan semula.
Pihak JBPM memaklumkan bahawa kejadian tersebut tidak melibatkan sebarang mangsa mahupun kecederaan, dan keadaan di lokasi adalah terkawal sepanjang operasi dijalankan.
Setakat ini, punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Orang ramai turut dinasihatkan agar sentiasa berwaspada, khususnya dalam mengendalikan kenderaan berat dan peralatan di kawasan perindustrian bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Oleh Faizah Muzidi