
BINTULU: Usaha memperkukuh institusi keluarga terus diberi penekanan sebagai langkah utama bagi mencapai sasaran Indeks Kesejahteraan Sosial Sarawak melebihi 8.0 menjelang 2030.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, pendekatan itu selaras dengan hala tuju Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang memberi fokus kepada pembinaan masyarakat inklusif, berdaya tahan dan sejahtera.
Menurutnya, kestabilan sesebuah keluarga memainkan peranan penting dalam memastikan kesejahteraan masyarakat dapat dicapai secara menyeluruh.
“Tanpa institusi keluarga yang kukuh dan harmoni, usaha mencapai sasaran kesejahteraan sosial ini sukar direalisasikan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penangguhan Kursus Pasca Perkahwinan Siri 1/2026 di Promenade Hotel di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, penganjuran kursus pasca perkahwinan merupakan antara pendekatan berkesan dalam membantu pasangan suami isteri memperkukuh hubungan serta meningkatkan kefahaman terhadap tanggungjawab masing-masing.
Katanya, perkahwinan bukan sekadar satu ikatan, sebaliknya amanah besar yang memerlukan kesabaran, komunikasi berkesan serta sikap saling menghormati antara pasangan.

Menurut beliau, kira-kira 100 peserta terdiri daripada penjawat awam, ketua masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti setempat menyertai program tersebut.
“Penyertaan ini menunjukkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan institusi keluarga sebagai asas kepada pembangunan komuniti yang sejahtera,” katanya.
Selain itu, beliau menambah, Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) merancang pelbagai program pemantapan institusi keluarga termasuk keibubapaan, pengurusan keluarga dan penjagaan warga emas.
Tambahnya, ilmu yang diperoleh sepanjang kursus perlu diamalkan dalam kehidupan seharian bagi memastikan keharmonian rumah tangga dapat dikekalkan.
Beliau turut menegaskan keluarga yang sejahtera mampu melahirkan generasi seimbang serta menyumbang kepada pembangunan negeri secara mampan.
Oleh Carolyne Utih