
LAWAS: Saberkas Cawangan Bukit Sari mengadakan mesyuarat agung pemilihan jawatankuasa baharu yang menampilkan barisan pelapis muda di sebuah hotel di sini, baru-baru ini.
Dalam pemilihan tersebut, Awangku Syarizan Awangku Hipni dipilih sebulat suara sebagai pengerusi baharu, menggantikan penyandang terdahulu, Kr Abu Bahrin Reduan, yang memberi laluan kepada kepimpinan generasi muda.
Mesyuarat yang berlangsung dalam suasana harmoni itu diselaras oleh Exco Saberkas Sarawak, Steve Lius, yang juga pengerusi Saberkas Cawangan Ba’kelalan.
Terdahulu, Steve menekankan kepentingan memperkukuh hubungan kerjasama antara Saberkas Cawangan Bukit Sari dan Saberkas Cawangan Ba’kelalan demi manfaat ahli serta belia di daerah tersebut.

“Kita berada dalam satu daerah yang sama, maka kerjasama erat perlu terus diperkukuh bagi membolehkan kita bergerak seiring demi kepentingan ahli dan belia.
Momentum ini penting agar belia memahami bahawa perpaduan tanpa mengira latar belakang kaum dan agama mampu membawa kemajuan bersama,” katanya.
Turut dipilih ialah Mohd Nazrul Hisham dan Mohamad Airan masing-masing sebagai Naib Pengerusi I dan II.
Sementara itu, Ismawe Samah dilantik sebagai setiausaha baharu, menggantikan Zikri Haizan yang berpindah ke Kuching.
Awangku Syarizan berkata, pemilihan barisan muda kali ini membuktikan generasi pelapis bersedia memikul amanah selepas menimba pengalaman daripada kepimpinan terdahulu.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan lama serta menyatakan komitmen untuk meneruskan usaha memperkasa belia Lawas selaras dengan aspirasi pembangunan Sarawak.
Oleh Adeng Edrus