
PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menasihati orang ramai agar tidak terpedaya dengan iklan jawatan kosong bersama imbas kod respons pantas (QR) yang tular kerana iklan tersebut adalah palsu.
Dalam kenyataan hari ini, JPJ memaklumkan pihaknya telah menerima aduan berhubung iklan jawatan kosong palsu itu yang menggunakan logo rasmi jabatan berkenaan.
“JPJ ingin menegaskan bahawa iklan tersebut adalah palsu. Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terpedaya dengan penyebaran promosi menerusi iklan atau akaun yang tidak sah bagi mengelakkan sebarang kekeliruan serta kerugian,” kata JPJ.
Orang ramai turut disaran merujuk atau menghubungi pihak JPJ terlebih dahulu untuk maklumat lanjut atau pertanyaan dan sebarang aduan rasmi boleh disalurkan menerusi https://jpj.spab.gov.my/. – Bernama