Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Tokoh sastera Mana Sikana dinobat Sasterawan Negara ke-16
  • PENDIDIKAN

Tokoh sastera Mana Sikana dinobat Sasterawan Negara ke-16

Utusan Sarawak 4 hours ago
MENTERI Pendidikan Fadhlina Sidek bercakap pada sidang media Anugerah Sastera Negara ke-16 di Kementerian Pendidikan Malaysia hari ini. Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang merupakan Sasterawan Negara Datuk Dr Anwar Ridhwan dan Ketua Pengarah DBP Dr. Hazami Jahari. Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Tokoh sastera negara Allahyarham Dr Abdul Rahman Napiah atau nama penanya Mana Sikana dipilih sebagai penerima Anugerah Sastera Negara Ke-16, sekali gus dianugerahkan gelaran Sasterawan Negara.

Mengumumkan perkara itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pemilihan berkenaan dibuat berdasarkan ketokohan beliau sebagai sasterawan yang prolifik dan konsisten menghasilkan karya kreatif bermutu tinggi sepanjang kerjayanya.

Beliau berkata sumbangan Abdul Rahman merangkumi pelbagai genre, termasuk cerpen, novel dan drama yang sarat dengan pemikiran kritis, nilai kemanusiaan serta kepekaan terhadap realiti sosial.

“Karya beliau sering menampilkan pendekatan yang berani dan inovatif, sekali gus memperkayakan bentuk serta estetika penceritaan dalam kesusasteraan Melayu moden,” katanya dalam sidang media berkenaan anugerah itu di sini hari ini.

Abdul Rahman meninggal dunia pada 26 Mei 2025 akibat komplikasi jantung.

Fadhlina selaku Pengerusi Panel Anugerah Sastera Negara Ke-16, berkata keputusan panel berhubung pemilihan penerima Anugerah Sastera Negara Ke-16 itu telah dibuat pada 14 April 2025, namun Abdul Rahman telah kembali ke rahmatullah pada 26 Mei 2025, iaitu selepas keputusan penilaian dimuktamadkan.

“Dalam hal ini, penting untuk ditegaskan bahawa asas penilaian Anugerah Sastera Negara adalah terhadap sumbangan karya dan pemikiran tokoh sepanjang hayatnya. 

“Walaupun jasad tokoh telah tiada, karya dan pemikiran yang ditinggalkan akan terus hidup dan memberi manfaat kepada masyarakat serta generasi akan datang sebagai khazanah ilmu dan budaya bangsa,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata Mesyuarat Jemaah Menteri pada 30 Jan lepas telah meluluskan pindaan terhadap Tatacara Kerja Anugerah Sastera Negara, membolehkan calon yang meninggal dunia dalam tempoh penilaian atau pemilihan masih layak dinilai dan dipertimbangkan untuk menerima anugerah berkenaan. 

Fadhlina berkata ketetapan itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan pengiktirafan tertinggi negara diberikan berasaskan jasa, sumbangan pemikiran dan ketokohan sastera, tanpa terhalang oleh kekangan teknikal berkaitan status hayat.

Beliau berkata Majlis Pengurniaan Anugerah Sastera Negara Ke-16 akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Sebagai penerima Anugerah Sastera Negara Ke-16, kerajaan akan memberikan penghargaan dan penghormatan negara kepada waris Allahyarham, termasuk Warkah Penghormatan Negara, wang tunai sebanyak RM60,000 dan penerbitan karya hingga 50,000 naskhah atau nilai maksimum RM500,000 untuk diedarkan ke sekolah, perpustakaan serta jabatan dan agensi kerajaan.

“Langkah ini bertujuan memastikan karya tokoh terus dibaca, dihargai dan dimanfaatkan oleh masyarakat secara meluas,” katanya. – Bernama

Continue Reading

Previous: Malaysia dan Turkiye sasar kerjasama pendidikan tinggi dalam bidang teknologi kritikal – Zambry
Next: Program Ngabas Anak Sarawak himpun 400 penuntut Bumi Kenyalang di IPT Pantai Timur

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.