Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Malaysia dan Turkiye sasar kerjasama pendidikan tinggi dalam bidang teknologi kritikal – Zambry
  • PENDIDIKAN

Malaysia dan Turkiye sasar kerjasama pendidikan tinggi dalam bidang teknologi kritikal – Zambry

Utusan Sarawak 4 hours ago
PERDANA Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan menyaksikan pertukaran dokumen persefahaman di antara Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Kadir dan Presiden Majlis Pendidikan Tinggi Turki Erol Ozvar sempena lawatan rasmi perdana menteri ke Turki. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR: Kerjasama strategik pendidikan tinggi antara Malaysia dan Turkiye kini memasuki fasa baharu dengan tumpuan utama diberikan kepada pembangunan bidang teknologi masa hadapan yang kritikal termasuk Kecerdasan Buatan (AI).  

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata melalui Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Bersama (JC) Malaysia dan Turkiye, kedua-dua negara komited meneroka potensi besar dalam sektor AI, aeroangkasa, teknologi hijau serta transformasi digital.

Katanya mesyuarat tersebut merupakan susulan kepada pertemuan pertama di Istanbul, Turkiye, April tahun lepas yang bertujuan menterjemahkan kerjasama strategik kepada hasil konkrit bagi kedua-dua negara.  

“Hubungan erat ini telah mengangkat kerjasama pendidikan tinggi ke tahap baharu melalui diplomasi intelektual dan teknologi, hasil kesinambungan hubungan kepimpinan antara Malaysia dan Turkiye.

“Fokus kerjasama kali ini akan tertumpu kepada bidang masa hadapan yang kritikal termasuk AI dan aeroangkasa bagi memperkukuh pengukuhan jaringan penyelidikan serta akademik antara universiti kedua-dua negara,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada taklimat media bersempena dengan Mesyuarat Kedua JC antara Malaysia dan Turkiye serta Kongres Pendidikan Bumiputera di Menara Dato Onn, di Kuala Lumpur, hari ini.

Mesyuarat JC yang berlangsung di Pulau Pinang bermula esok hingga Khamis itu akan disertai barisan pengurusan tertinggi pendidikan tinggi Malaysia dan Turkiye diketuai Presiden Majlis Pendidikan Tinggi Turkiye (YOK) Profesor Erol Ozvar serta beberapa naib canselor dan rektor universiti dari kedua-dua negara.

Selain itu, ia turut melibatkan penyertaan besar daripada institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan termasuk 20 universiti awam, empat Universiti Milik Syarikat Pelaburan Kerajaan (GLU), tiga IPTS dan politeknik premier.

Antara institusi utama yang menyertainya ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), manakala Turkiye diwakili Ibn Haldun University dan Middle East Technical University.  

Zambry berkata antara hasil utama yang dijangkakan daripada mesyuarat itu ialah pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dengan Majlis Kualiti Pendidikan Tinggi Turkiye (THEQC), selain beberapa Surat Hasrat (LoI) antara universiti yang terlibat bagi mengukuhkan jaringan akademik dan penyelidikan.  

Selain mesyuarat utama, Zambry berkata beberapa program sokongan turut diatur termasuk Forum Pendidikan Malaysia-Turkiye, program kepimpinan kerjasama AKEPT-USM serta perbincangan khusus mengenai penubuhan kerjasama dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang akan bermula hari ini. 

Mengenai pengisian program, Zambry berkata penganjuran Forum Ilmuwan Malaysia MADANI (FIM) Siri ke-11 bertajuk “Muslim Unity in Times of Geopolitical Crisis” telahpun diadakan di Putrajaya pada malam tadi sebagai platform wacana global tokoh kedua-dua negara.  

Program lain yang turut diadakan ialah Leadership Summit Kuala Lumpur 2026 di UTM Kuala Lumpur pada petang ini yang dihadiri tokoh terkemuka termasuk Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Universiti Ibn Haldun, Necmettin Bilal Erdogan merangkap anak Presiden Turkiye serta bekas pemain bola sepak profesional, Mesut Ozil. 

Dalam perkembangan lain, Zambry turut mengumumkan penganjuran Kongres Pendidikan Bumiputera yang akan diadakan pada 1 Mei ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Kongres bersifat inklusif itu bakal menghimpunkan kira-kira 4,000 peserta merangkumi agensi kerajaan, mahasiswa serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menilai semula dasar pendidikan Bumiputera agar kekal relevan dengan cabaran masa depan.  

Beliau berkata satu sekretariat khas di peringkat kerajaan akan ditubuhkan selepas kongres berakhir bagi memastikan segala resolusi dicapai dapat dilaksanakan sebagai agenda rasmi kerajaan.

“Resolusi daripada kongres ini akan dikemukakan sebagai agenda kepada kerajaan untuk tindakan susulan bagi memperkasa pendidikan Bumiputera, termasuk dalam aspek tahfiz, wakaf pendidikan dan AI,” katanya.  – Bernama

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: Elaun Tingkatan Enam: Anjakan paradigma ke arah keadilan pendidikan – GPMS

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.