Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Sampai bila harap kayuhan Azizulhasni?
  • SUKAN

Sampai bila harap kayuhan Azizulhasni?

Utusan Sarawak 7 hours ago
JAGUH berbasikal trek negara Datuk Azizulhasni Awang ketika beraksi dalam acara suku akhir pecut lelaki menentang pelumba dari Czech Dominik Topinka pada Kejohanan Piala Dunia Berbasikal Trek UCI di Velodrom Nasional baru-baru ini. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Nama Datuk Azizulhasni Awang bukan sekadar sinonim dengan sukan berbasikal trek negara, malah sejak sekian lama menjadi simbol ketahanan, keberanian dan keazaman luar biasa seorang atlet Malaysia.

Setiap kali Jalur Gemilang dikibarkan di pentas antarabangsa menerusi acara keirin atau pecut, beliau sering menjadi sandaran utama rakyat yang mengimpikan kejayaan.

Malah, seperti kebiasaan, Azizulhasni jarang pulang dengan tangan kosong setiap kali menyertai perlumbaan, terutama ketika berada pada tahap prestasi terbaik.

Terbaharu, Sabtu lepas, pelumba yang mendapat julukan ‘The Pocket Rocketman’ itu menggamatkan penyokong tempatan di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan apabila meraih pingat emas acara keirin lelaki pada siri ketiga Kejohanan Piala Dunia Berbasikal Trek 2026.

Pada usia 38 tahun, pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu membuktikan dirinya masih berbisa apabila berjaya menewaskan juara dunia yang jauh lebih muda, Harrie Lavreysen, 29, dari Belanda untuk muncul juara acara berkenaan.

Kemenangan itu juga merupakan yang kedua buat Azizulhasni dalam acara keirin pada Kejohanan Piala Dunia Berbasikal Trek 2026 selepas turut menjuarainya pada Siri Satu di Perth, Australia, Mac  lepas.

Namun, di sebalik rentetan kejayaan itu, timbul persoalan sejauh mana Malaysia boleh terus menyandarkan harapan kepada beliau dalam memburu pingat di pentas antarabangsa.

Hakikatnya, kejayaan menewaskan pelumba lebih muda serta kekal kompetitif sememangnya mengagumkan. Namun, pada masa sama, ia turut mendedahkan ekosistem berbasikal trek negara yang masih terlalu bergantung kepada satu nama besar.

Bekas pelumba basikal trek negara Josiah Ng mengakui Malaysia perlu memperkukuh sistem latihan dan sokongan bagi melahirkan lebih ramai atlet seperti Azizulhasni yang mampu menggalas tanggungjawab mengharumkan nama negara.

Menurutnya, sistem latihan dan sokongan sedia ada ketika ini berada pada tahap baik, namun masih belum cukup kukuh untuk mencapai matlamat berkenaan.

“Ketika ini, sistem kita berada pada tahap ‘baik’. Namun, dengan sistem dan pasukan sokongan yang sekadar ‘baik’, adakah kita mampu melahirkan seorang lagi Azizul? Azizul bukan sekadar ‘baik’, beliau luar biasa,” katanya kepada Bernama.

Kebergantungan kepada seorang atlet bukanlah perkara baharu dalam landskap sukan negara. Dalam badminton, misalnya, Malaysia pernah terlalu bergantung kepada Datuk Seri Lee Chong Wei, manakala dalam skuasy pula kepada Datuk Nicol David.

Justeru, pihak berkepentingan tidak boleh terus selesa dibuai kejayaan semasa tanpa merangka pelan peralihan yang jelas dan terancang.

Dalam pada itu, bakat pelapis sedia ada seperti Muhammad Shah Firdaus Sahrom, Muhammad Fadhil Zonis, Muhammad Ridwan Sahrom, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dan Anis Amira Rosidi perlu terus digilap bagi memastikan kesinambungan kecemerlangan sukan berbasikal trek negara. – Bernama

Continue Reading

Previous: Piala Thomas: Malaysia, Jepun main ‘perang saraf’ menjelang penentuan Kumpulan B 
Next: PTBS Blue juara sulung Piala YB Mohamad Duri, perkasa sukan tenis di Saratok

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.