Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • United makin hampir ke Liga Juara-Juara, Casemiro, Sesko tumbangkan Brentford
  • SUKAN

United makin hampir ke Liga Juara-Juara, Casemiro, Sesko tumbangkan Brentford

Utusan Sarawak 8 hours ago

Pemain tengah Manchester United, Casemiro (kiri) meraikan jaringan pembukaan ketika menentang Brentford di Old Trafford. Foto AFP.

MANCHESTER (UK): Manchester United semakin hampir mengesahkan tempat ke Liga Juara-Juara musim depan selepas Casemiro dan Benjamin Sesko menjaringkan gol dalam kemenangan 2-1 ke atas Brentford di Old Trafford awal pagi tadi.

Casemiro meletakkan United di depan pada awal permainan sebelum Sesko menggandakan kelebihan sebelum rehat separuh masa pertama.

Jaringan lewat Mathias Jensen tidak cukup untuk menghalang United terus mengukuhkan kedudukan di tangga ketiga Liga Perdana Inggeris.

United kini 11 mata di depan Brighton di tangga keenam, dengan lima pasukan teratas dijamin slot ke Liga Juara-Juara musim depan.

Anak buah Michael Carrick hanya memerlukan dua mata daripada baki empat perlawanan untuk memastikan kepulangan mereka ke saingan elit Eropah buat kali pertama sejak musim 2023-24.

Minggu depan, United akan menerima kunjungan seteru utama Liverpool di Old Trafford dalam perlawanan yang berpotensi menentukan siapa menamatkan musim di tangga ketiga.

Carrick, yang mengambil alih tugas selaku pengendali sementara selepas Ruben Amorim dipecat pada Januari, masih menunggu keputusan sama ada beliau akan diberikan jawatan tetap.

Bekas pemain tengah United itu bagaimanapun semakin menguatkan hujahnya selepas berjaya menstabilkan pasukan susulan era bergelora Amorim.

United turun dengan keyakinan tinggi selepas menewaskan Chelsea 1-0 sebelum ini, dan mereka bermula garang apabila Kobbie Mainoo hampir mencipta gol seawal minit kedua, namun percubaan Amad Diallo diselamatkan di garisan gol.

Harry Maguire turut hampir meledak, tetapi tandukannya dinafikan penjaga gol Brentford, Caoimhin Kelleher.

Tekanan berterusan tuan rumah akhirnya berhasil pada minit ke-11 apabila Casemiro menanduk masuk hasil gerakan sepakan penjuru Bruno Fernandes.

Ia gol keempat Casemiro dalam enam perlawanan terakhir, sekali gus membuktikan pengaruh besar pemain Brazil itu meskipun kontraknya dijangka berakhir hujung musim ini.

Penyokong United jelas mahu beliau kekal apabila melaungkan “one more year” selepas Casemiro meraikan gol dengan mencium lencana kelab.

Brentford cuba bangkit menerusi Igor Thiago dan Michael Kayode, namun United lebih tajam apabila Sesko meledak gol kedua pada minit ke-43 selepas gerakan pantas bermula daripada Diallo dan Fernandes.

Fernandes kini mengumpul 19 bantuan gol musim ini, hanya satu di belakang rekod Liga Perdana Inggeris milik Thierry Henry dan Kevin De Bruyne.

United sedikit goyah pada babak kedua dan Jensen merapatkan jurang menerusi rembatan lencong menarik pada minit ke-87.

Namun, skuad Carrick berjaya bertahan sehingga tamat permainan walaupun diasak hebat pada waktu kecederaan. – AFP

Continue Reading

Previous: Sukma 2026 penting bagi persiapan atlet hadapi Sukan SEA tahun depan
Next: Piala Uber: Emosi bercampur buat Thinaah meskipun mengetahui Malaysia ke suku akhir

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.