
KUCHING: Bermula daripada sekadar idea santai untuk mengajak anak muda hidup lebih sihat, Kepak Running Club (KRC) kini berkembang menjadi sebuah komuniti larian yang bukan sahaja memupuk kecergasan, malah mengeratkan hubungan sesama belia.
Kelab tersebut secara rasmi ditubuhkan pada 27 Ogos 2025, selepas cetusan idea awal pada 23 Ogos 2025 ketika kumpulan pengasas merasakan perlunya satu platform untuk mengumpulkan anak muda yang minat berlari tetapi tiada komuniti latihan bersama.
Diasaskan oleh Mohd Shaffiq, 27 atau dikenali sebagai Pakapik, Kepak Running Club turut melantik Mohd Hidayat, 28, sebagai ketua komuniti, dengan matlamat utama membina generasi muda yang mengamalkan gaya hidup sihat sambil mengukuhkan ukhuwah dan perpaduan dalam kalangan belia.
Kini, KRC mempunyai seramai 52 ahli aktif yang terus konsisten menyertai aktiviti larian bersama, sama ada pada waktu pagi mahupun petang.
Menurut ahli KRC, Muhd Asyraf, 27, penyertaannya dalam kelab ini banyak mengubah rutin kehidupannya menjadi lebih teratur dan positif.
“Kalau lepak dulu balik lewat, tapi sekarang lepas larian santai kami lepak sihat. Jadi semua tidur awal, tidak ada lagi lepak sampai malam,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak.


Bagi Affizan, 25, larian secara berkumpulan memberi motivasi yang lebih tinggi berbanding berlari seorang diri.
“Golongan muda dan belia dinasihatkan agar menetapkan niat untuk bersukan demi kesihatan.
“Kalau tak paksa diri, memang tak ada kemajuan. Sampai tua pun akan macam itu sahaja. Kena mula dari sekarang,” tegasnya.
Sementara itu, Mohd Muzakkir, 28, berkata penyertaannya dalam KRC didorong oleh kepentingan menjaga kesihatan diri serta keinginan untuk kekal konsisten dalam aktiviti sukan.
“Saya dah 3 ke 4 tahun aktif, tapi memang ada cabaran macam cuaca dan rasa malas dalam diri sendiri. Namun begitu, semangat untuk kekal sihat menjadi pendorong utama untuk saya tidak berputus asa.
Pernah rasa nak putus asa, tapi bila fikir balik objektif saya ialah jaga kesihatan, jadi saya kembali semula,” ujarnya.
Lebih daripada sekadar kelab larian, Kepak Running Club kini menjadi ruang pertemuan anak muda untuk membina jaringan sosial sihat, saling memberi inspirasi, dan membudayakan gaya hidup aktif dalam komuniti.
KRC kebiasaannya mengadakan aktiviti larian jarak jauh setiap hujung minggu serta kadang-kadang turut mengadakan aktiviti pendakian dan sesiapa yang berminat untuk menyertai KRC boleh mesej secara langsung di Instagram @kepakrunningclub.
Oleh Masrin Affirah